Cerita ini berlaku sudah lama tapi aku baru rasa nak bercerita.

Teringat pula kisah di kampung aku di Terengganu, aku kenal satu keluarga ini, Sarah (bukan nama sebenar) adalah kawan aku.

Sarah pernah mengadu kepada aku, dia kata kerap rumah keluarganya diganggu. Aku pada mulanya macam tak percaya tapi lama kelamaan, cerita dia kedengaran logik.

Lagipun, kita sebagai umat Islam mestilah percaya dengan kewujudan jin dan syaitan, cuma jangan sesekali kita terikut dengan hasutan mereka yang membawa kita ke dalam kesesatan.

Ceritanya begini, Sarah selalu nampak kelibat melintas di dalam rumahnya, kadang-kadang, kalau budak kecil datang ke rumahnya pun mesti cakap ada nampak orang tua lah, itu lah ini lah...

Aku pun menasihati Sarah untuk sentiasa memperbanyakkan ibadah dan dapatkan nasihat dari pihak yang lebih tahu, aku suruh dia jumpa ustaz di kawasan berdekatan.

Sarah pun ada berjumpa seorang yang dipanggil ustaz untuk 'memeriksa' kawasan rumahnya. Menurut ustaz itu, ada orang sudah 'hantar' sesuatu ke rumah mereka dan di kedai makan milik Mak dan Ayah Sarah, Astaghfirullah...

Patutlah sejak kebelakangan itu ramai juga yang cakap Pak Leman (bapa Sarah, juga bukan nama sebenar) kerap tutup lah, makanan tak sedap lah, jumpa gumpalan rambut dalam makanan lah...macam-macam! Rupanya terkena guna guna! Mungkin kedai itu buka tapi pandangan orang sahaja yang tak berminat untuk datang kerana telah diletakkan 'sesuatu'.

Kata Sarah, mereka sekeluarga cuba berubat mengikut saranan ustaz itu, ustaz itu pun tak ada guna alat-alat dan cara pelik, semua baca ayat suci Al-Quran sebagai ruqyah dan sebagainya.

Selepas berubat, dengan izin Allah, Sarah sudah tidak melihat benda benda aneh dan seram di rumahnya, begitu juga ahli keluarga lain.

Cuma, mereka ada tanya ustaz itu jika dia tahu siapakah yang menghantar 'benda' tu? Namun ustaz tersebut enggan memberitahu kerana takut wujud perasaan pecah belah sesama umat Islam.

Menurutnya, lebih baik untuk terus memperbanyakkan ibadah, berdoa dan selalu berzikir untuk membersihkan hati selain memohon perlindungan kepada Allah SWT.

Tapi dari pemahaman aku, perbuatan sebegitu biasanya berpunca dari perasaan hasad dengki dan kebencian, entahlah, hati manusia susah nak baca kan?

Kejadian sihir, santau dan sebagainya berlaku pun dengan izin Allah, mungkin untuk menguji iman manusia, apapun, pintu taubat sentiasa terbuka untuk mereka yang telah terjebak dalam perbuatan demikian.

Semoga kita semua terlindung daripada perasaan hasad dengki, niat untuk mengkhianati sesama sendiri dan pelbagai perbuatan keji lain.

***Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.