Dunia seni Indonesia turut bergulir dengan beragam kisah selebriti mereka.

Seperti sebuah roller coaster, industri hiburan dari negara jiran ini tak kurang sensasinya. Dalam banyak pencapaian, ada juga kejutan-kejutan di luar jangka yang terjadi.

Berikut Gempak memilih beberapa berita sensasi dari Indonesia sepanjang tahun 2021 ini.

Pelakon Vanessa Angel, Suami Meninggal Dunia

Kredit Foto: Tribunews

Berita kemalangan maut yang mengorbankan pelakon Vanessa Angel dan suaminya, Febri Ardiansyah pada 4 November lalu cukup menggemparkan dunia seni Indonesia.

Vanessa yang sebelumnya pernah terkait kontroversi sehingga harus meringkuk di penjara dilaporkan meninggal dunia bersama Febri atau Bibi selepas kenderaan yang dipandu seorang pemandu kemalangan di Tol Jombang KM 672, Jawa Timur.

Hal yang lebih menyayat hati adalah pasangan suami isteri tersebut meninggalkan anak sulung mereka, Gala Sky Andrianshah yang sebenarnya turut berada dalam kenderaan sama.

Ironi, sebelum kejadian maut itu terjadi, pada pagi hari yang sama, Vanessa sempat mendokumentasikan dirinya bersama anaknya dalam sebuah perjalanan dan dimuat naik melalui akaun Instagram @vanessaangelofficial.

Khabar kematian Vanessa kemudian menjadi tajuk hangat dalam kalangan peminat seni yang terkejut dengan pemergiannya pada usia muda iaitu 27 tahun.

Malah sepotong video temu bual wanita ini dan Bibi yang dirakamkan sebelum ini menjadi viral kerana suaminya itu menyebut akan ikut mati bersama Vanessa.

Belum habis khalayak memperkatakan tentang kebaikan pasangan ini, bapa Vanessa kemudian mencetuskan kontroversi apabila ingin menggali dan mengalihkan kubur anaknya yang dikebumikan dalam satu liang lahat bersama suami, demi ‘menunaikan janji’ pelakon itu yang didakwa mahu disemadikan di tanah perkuburan bersama arwah ibunya.


Nia Ramadhani Hisap Dadah

Kredit Foto: Suara.com

Pelakon yang pernah menjadi fenomena dalam kalangan penonton sinetron Indonesia, Nia Ramadhani mengejutkan dunia hiburan apabila ditangkap kerana kesalahan dadah.

Nia, 31, ditangkap di kediamannya di Pondok Indah pada Julai lalu selepas didapati mengambil dadah jenis sabu. Turut ditangkap adalah pemandu peribadi sebelum suaminya, usahawan Ardi Bakrie menyerah diri dan ditangkap atas kesalahan sama.

Selepas ditangkap, pasangan yang sering mempamerkan gaya hidup mewah ini tidak dipenjarakan, sebaliknya menjalani rawatan pemulihan dadah di sebuah pusat pemulihan di Bandung sementara menunggu kes dibicarakan.

Pada awal bulan ini, Nia dan Ardi bersama pemandu mereka selesai menjalani perbicaraan pertama di mahkamah Pengadilan Negeri Jakarta Pusat.

Menariknya, dalam perbicaraan yang berlangsung, Nia telah ditempelak oleh hakim kerana memberi alasan mengambil dadah lantaran sedih di atas kematian bapanya.

Padahal bapa pelakon ini sudah meninggal dunia sejak tujuh tahun lalu.

Namun Nia yang memiliki tiga cahayamata ini kemudian mengaku mengambil dadah kerana tertekan dengan ‘keinginan hidup sempurna’ yang perlu ditonjolkan kepada masyarakat.


Perkahwinan Mewah Atta Halilintar, Aurel Hermansyah

Pasangan muda Aurel Hermansyah dan Atta Halilintar akhirnya selamat diijabkabulkan pada 3 April 2021.

Pernikahan anak perempuan Kris Dayanti dengan mantan suaminya, Anak Hermansyah tersebut menjadi sorotan bukan sahaja kerana mereka popular, namun majlis mewah dan tetamu yang hadir pada acara tersebut turut menjadi perbicaraan publik.

Keduanya telah melangsungkan perkahwinan di Hotel Raffles Kuningan, Jakarta, dengan dekorasi rimbunan bunga dan lampu kristal yang cukup mewah.

Majlis mereka pula dihadiri tokoh-tokoh penting termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). Hal tersebut sempat mencetuskan kontroversi kerana saat majlis berlangsung, Indonesia sedang dalam fasa menjaga protokol kesihatan yang ketat kerana wabak Covid 19.

Kini Aurel hamil 7 bulan selepas sempat gugur sebelum ini. Isteri Youtuber terkenal ini merancang melahirkan anak sulungnya secara normal.


Teka Teki Pernikahan Lesti Kejora, Rizky Billar

Pernikahan bintang dangdut masa kini, Kesti Kejora dan pelakon Rizky Billar telah mencetuskan kontroversi apabila pasangan ini tidak bersikap jujur dan cuba merahsiakan tarikh pernikahan sebenar mereka.

Khabar ‘penipuan’ tanggal pernikahan pasangan muda ini terkuak selepas penampilan dan fizikal Lesti dilihat seperti seorang ibu mengandung sewaktu memakai busana perkahwinannya.

Hal itu sempat membuat Lesti dituduh telah hamil sebelum menikah, sekaligus membuat imej muslimahnya tercalar.

Tidak mahu peminat terus berteka teki dan menyebar fitnah, Rizky akhirnya melalui temubual mengaku sudah menikah dengan kekasihnya itu awal tahun ini, bukannya 19 Ogos 2021 seperti yang dikongsikan kepada umum.

Biarpun telah membuat pengakuan tersebut, ramai yang tidak berpuas hati dan mendakwa pasangan tersebut masih berbohong dengan tanggal perkahwinan mereka kerana tidak memberi jawapan yang lengkap selain beberapa bukti lain yang ditunjukkan oleh pengguna media sosial.

Malah ada peminat yang melaporkan kes kepada pihak polis dengan dakwaan pasangan tersebut melakukan penipuan sehingga keduanya boleh menerima hukuman.


Instafamous Laura Anna Meninggal Dunia

Hanya setelah beberapa minggu ‘keluar’ dan berkongsi kisah hidupnya selepas dua tahun lumpuh kerana kemalangan, Instafamous Laura Anna mengejutkan Indonesia apabila meninggal dunia.

Laura Anna yang menjadi buah mulut selepas mengaku mengambil tindakan undang undang terhadap bekas kekasihnya, Gaga Muhammad atas dakwaan mengakibatkan dirinya lumpuh dalam kemalangan pada tahun 2019 meninggal dunia pada 15 Disember 2021.

Ironi, gadis yang sempat mengalami sesak nafas sebelum menutup mata itu baru ingin memulai hidup baharunya selepas mengaku dua tahun hidup dalam kemurungan dan tidak mendapat keadilan kerana Gaga tidak bertanggungjawab selepas dirinya menjadi lumpuh.

Untuk rekod, pasangan kekasih ini mengalami kemalangan ngeri di Jakarta selepas Gaga didakwa memandu dalam keadaan mabuk.