Laman Utama
#GempakWrapped2022: Siti Khadijah, Meer Nash, The Gadys… Bintang-Bintang Baharu Yang Diramal Bakal Menyinar Sepanjang Tahun Ini
Tirai bagi tahun 2022 baru sahaja dilabuhkan. Namun, situasi industri hiburan tempatan masih gah dan meriah berjalan, membungakan pelbagai hasil seni khas untuk pengikut dan juga peminat.
Sepanjang tahun 2022 juga, pelbagai hal berkaitan dunia hiburan berlaku, termasuk kemunculan bakat-bakat baharu dan bakat lama yang baru ‘panas’, yang dilihat bakal mencetuskan fenomena untuk tahun berikutnya.
Berikut merupakan barisan pelakon serta penyanyi yang dirasakan bakal menyinar sepanjang 2023:
Siti Khadijah
Dinobatkan sebagai juara Gadis Panca NR 2017, karier Siti Khadijah bermula apabila ditawarkan untuk membintangi drama bersiri seperti Rumah Siti Khadijah, Dia Yang Ku Cinta dan Bidadari Salju. Nama pelakon berusia 26 tahun itu mula memanjat carta perhatian netizen dan peminat selepas dia membintangi drama seperti The Maid, Marry Me Senorita, Dukun Diva dan terbaharu Ash & Aish. Selain itu, Siti Khadijah turut berjaya meraih tempat dalam industri perfileman apabila dua filem lakonannya, Rompak dan Hantu Tenggek ditayangkan pada tahun lalu.
Syafiq Naser
Bermula sebagai pempengaruh media sosial beberapa tahun lalu, nama Syafiq Naser semakin membunga dalam bidang lakonan apabila dia diberi peluang membintangi teater Madu Ku Terpaling Kalut tahun lalu. Penglibatannya menerusi teater tersebut meraih maklum balas positif sehingga ada yang mencadangkannya untuk terus aktif dalam bidang berkenaan. Selain itu, langkahnya dalam bidang lakonan mungkin baru sahaja bermula, namun, jalannya dalam industri muzik masih lagi diteruskan dengan peluncuran single Malu pada Oktober tahun lalu.
Meer Nash
Perjalannya Meer Nash dalam bidang nyanyian bukanlah baru bermula semalam. Bermula sebagai anggota kumpulan VOTEz dan kemudiannya bergerak solo, banyak percubaan yang dilakukan oleh Meer Nash atau nama sebenarnya Muhammad Shahmeer Mohd Nashrul itu untuk mengukuhkan nama sebagai penyanyi dan juga penghibur. Pelbagai pertandingan disertai namun namanya masih kurang dikenali, sehinggalah Meer Nash menerbitkan lagu ala K-Pop tetapi masih mengekalkan elemen kemelayuan. Dua single yang dilancarkan, Saranghae dan Kajima menerima respons positif dalam kalangan peminat yang ternyata menggemari genre yang dianggap unik dan segar.
Nuha Bahrin & Naufal Azrin
Nama dua penyanyi ini meroket naik selepas lagu berjudul Casablanca viral di media sosial. Sejak itu, baik Nuha mahupun Naufal, masing-masing meraih pengikut di media sosial, selain sokongan terhadap kerjaya nyanyian mereka. Justeru, tidak hairan lagu nyanyian semula, Jika yang dialih bahasa kepada bahasa Arab turut meraih perhatian umum, termasuk pencipta dan penyanyi asalnya, Melly Goeslaw.
The Gadys
Fenomena grup wanita di Malaysia dilihat semakin berkembang dek kemunculan DOLLA beberapa tahun lalu. The Gadys, antara grup vokal wanita yang dilihat makin mendapat perhatian khususnya peminat muzik tanah air. Sungguhpun salah seorang anggotanya, Faa sudah meninggalkan kumpulan tersebut, namun, misi The Gadys yang kini dianggotai oleh Nelissa Nizam, Ayunie Rizal dan Aznie Azmi dilihat bakal lebih menyinar terutama selepas single kedua mereka, Gelek Jambu menerima maklum balas positif oleh pendengar.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video