Penyanyi dan pengacara Adibah Noor meluahkan rasa pilunya di atas pemergian pelawak Abam Bocey.

Menerusi laman sosial Twitter, Adibah berkongsi momen bersama Abam yang terkenal dengan slogan ‘gemuk itu awesome’ suatu ketika dulu.

“Akak ingat lagi dik, tatkala kau laungkan ‘gemok itu awesome’, ada orang terus offer diri untuk bantu kau ‘kurus dan sihat’.“Waktu itu, berlaku juga pertikaman hujah di antara yang terinspirasi oleh mu dan "pakar-pakar" kesihatan. Sedangkan kami lebih faham apa yang kau maksudkan.

“Kau sering diberikan tugasan dalam rancangan-rancangan lawak yang pasti menyusahkan untuk kau bangun dari duduk/baring namun kau buat juga sebab kau tahu itu akan menggeletek semua orang.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga dan sahabat handai abam.

“Terima kasih Allah kerana meminjamkan insan ini buat kami melepaskan lelah, menghibur hati lantas lupa seketika segala belenggu, memberi inspirasi kepada kami melalui kerja dan ibadahnya,” tulis Adibah menerusi satu kicauan.

Luahan Adibah itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada wargamaya apabila rata-rata memahami dengan slogan yang diperjuangkan oleh arwah Abam.

“Saya faham slogan ‘gemuk is awesome’. Arwah bukannya nak mempromosikan gaya hidup tidak sihat, dia hanya nak memecahkan tembok golongan ini. Allahu, semoga Allah membalas kebaikan hatinya,” luah seorang wargamaya.



“Saya mengambil ayat ‘gemuk is awesome’ sebagai satu batu loncatan dalam diri. Dari seorang yang dipulaukan oleh kawan-kawan masa sekolah. Kini menjadi seorang pemimpin badan pelajar di universiti. Dari seorang yang takut untuk bercakap, kini menjadi seorang pemidato,” kongsi seorang wargamaya.

“Saya tak minat Abam tapi saya pernah nampak dia kat Astro. Kebanyakan artis yang masuk keluar Astro tu mesti buat dek je kat kaunter security depan tu tapi Abam sorang je tegur abang polis tu. Bagus betul Abam ni,” tulis seorang wargamaya.

“Saya faham perjuangan ‘gemuk itu awesome’ yang arwah perna sebut dulu. Dia nak buktikan yang orang gemuk pun boleh berjaya,” komen seorang wargamaya lagi.

Perkongsian Adibah itu sehingga kini telah menerima hampir 14,000 ulang kicau dan lebih 30,000 tanda suka daripada warga Twitter.