Semalam telah berlangsung ulang tahun pertama RR Mono Scarves dengan melantik tujuh selebriti menjadi ‘muse’ bagi koleksi tudung Rizman Ruzaini, antaranya Ziana zain, Izara Aishah, Aina Abdul, Amyra Rosli, Kilafairy, Hawa Rizwana dan Nurida Suraya.

Setelah 17 tahun mengorak langkah dalam bidang rekaan fesyen, jenama Rizman Ruzaini (RR) kini bukan lagi asing dalam kalangan pecinta fesyen negara.

Memulakan empayar perniagaan melalui bakat yang dimiliki, kini dua sahabat baik, Rizman dan Ruzaini bukan sahaja bangga untuk bergelar seorang pereka fesyen tetapi juga usahawan berjaya.

Selain pakaian, antara hasil rekaan RR yang turut mendapat perhatian adalah koleksi tudung eksklusif yang menjadi kegilaan penggemar jenama RR kini.

Diperkenalkan sejak setahun lalu, Mono Scarves kekal menjadi pilihan ramai wanita di luar sana yang selesa dengan suntikan gaya elegan dan sofistikated.

Menurut Rizman, mereka juga yakin dengan kemampuan selebriti yang dilantik ini untuk menjadi platform pemasaran yang baik buat jenama RR sendiri.

“Sejak dahulu lagi di Rizman Ruzaini kami memang selesa untuk bekerjasama dengan selebriti. Bukan soal hubungan sahaja, namun bagaimana golongan ini juga memberi impak yang baik terhadap jenama RR.

“Jadi pemilihan seramai tujuh selebriti ini dalam mewakili koleksi tudung RR adalah satu pilihan yang tepat dalam memastikan RR kekal relevan dalam industri fesyen negara.

“Soal mengapa tujuh selebriti ini dipilih untuk mewakili koleksi tudung RR, kami melihat setiap daripada mereka mempunyai golongan peminat yang berbeza. Sesuai dengan impian kami untuk memastikan jenama RR diterima setiap golongan” katanya.

Dengan sambutan pertama koleksi RR Mono Scarves semalam, Ruzaini melihat ini adalah usaha pertama mereka bagi menghargai pembeli setia produk RR dan yang cukup istimewa juga mereka turut menawarkan tudung percuma kepada pelanggan yang hadir.

“Apa yang berlaku hari ini bukan untuk kami di RR sahaja tetapi mereka yang menjadi sebab mengapa RR terus berada di sini sehingga hari ini.

“Tanpa sokongan pembeli dan pengguna RR, kami tidak mungkin akan bertahan selama 17 tahun. Jadi sambutan ulang tahun RR Mono Scarves ini adalah permulaan yang baik untuk kami memberi semula kepercayaan mereka dengan acara seperti ini.

“Pada hari ini juga kami turut mengedarkan 300 tudung percuma kepada pembeli terdahulu tudung Mono Scarves” katanya.

Sementara itu pada majlis yang berlansung di Pop-up Store RR Hijab di hadapan Pavilion, sambutan ini juga turut mengumumkan pemenang Face of RR Hijab yang akan membawa pulang wang tunai beserta kontrak bersama jenama RR bernilai RM10,000.