Sebagai peminat setia sukan bola sepak, pelakon dan penyanyi dari Indonesia, Calvin Jeremy turut tidak terlepas untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar ketika ini.

Bagaimanapun, bagi Calvin dia lebih tertarik untuk melihat perlawanan negara-negara yang mempunyai peluang kecil pada kejohanan tersebut seperti Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidaklah begitu hebat bermain bola sepak, tapi tidaklah juga teruk. Saya suka lihat perlawanan negara-negara Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan.

“Tidak meletak harapan tinggi untuk mereka bergelar juara, tapi ingin mereka pergi jauh.

“Malah saya tidak kenal sangat pun dengan pemain-pemain dari negara tersebut, tapi seronok tonton perlawanan mereka,” katanya kepada portal kapanlagi.

Berbeza dengan kebanyakkan orang yang menunjukkan minat mereka kepada pasukan Portugal, kata Calvin dia tidak mahu melihat pasukan yang dianggotai bintang popular dunia Cristiano Ronaldo itu menuju ke perlawanan akhir.

Hal tersebut diluah Calvin susulan tindakan bintang sensasi berkenaan yang keluar daripada pasukan Real Madrid dan Manchester United (MU).

“Saya ingin melihat Portugal gagal di Piala Dunia. Sesetengah orang suka Portugal kerana Ronaldo, tapi saya pula dikecewakan dengan dia kerana saya merupakan peminat MU. Bukan sekali dia kecewakan saya tetapi dua kali.

“Pertama dia keluar dari Real Madrid, kedua jadi whistleblower dan akhirnya dipecat daripada Manchester United,” kongsinya.

Sumber - Kapanlagi

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!