Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Gimik Cekik-Cekik, Fazley Risau Anak-Anak Terikut - "Mereka Tanya Saya Balik, Tak Takut Ker Kena Cekik Nanti Kalau Berlakon?"

Amri Hassan
14/03/2022 04:55 MYT
Cef selebriti, penyanyi dan pelakon, Datuk Fazley Yaakob mengakui pandangannya mengenai gimik keterlaluan untuk mempromosikan sesuatu produk sewajarnya diteliti sebaik mungkin sebelum melakukannya.

Jelas Fazley, dia tampil bersuara di media sosial baru-baru ini susulan viral video rakan selebriti dicekik di sebuah set penggambaran drama selepas isu itu kerap dibincangkan di hadapannya termasuk mendapat perhatian anak-anaknya.

"Baru-baru ini saya bersama sekelompok parents muda di kedai makan dan mereka bertanya mengenai video viral yang cekik-mencekik untuk tujuan viral. Kebanyakan ibu muda merasakan takut kalau anak-anak ikut.

"Jadi saya rasa sebagai seorang motivator, ini cara saya untuk suarakan apa yang mereka tak boleh nak suarakan. Saya tengok kebanyakan mereka yang menonton gimik itu tak mahu menjadi ikutan.

"Saya tak target kepada rakan selebriti atau produksi yang membuat gimik tersebut tapi saya menyentuh secara menyeluruh.

"Saya bapa kepada empat orang anak, jadi anak-anak saya pun ada tengok dan bertanya 'betul ker ada orang kena cekik kat drama? Nanti kalau dida (panggilan anak kepada Fazley) berlakon, tak takut ker kena cekik?'.

"Dalam masa sama ada anak-anak rakan saya yang bila di rumah sudah pandai main cekik-cekik. Jadi saya rasa hal ini merisaukan. Kalau drama itu menjadi ikutan, kita faham itu lakonan.

"Kalau gimik untuk melariskan populariti boleh, ia menarik. Cuma saya risau ia menjadi ikutan generasi akan datang. Saya tak halang gimik sebab saya pun membesar dalam industri yang penuh gimik. Tapi kalau boleh memudaratkan, mungkin boleh fikir dua tiga kali," katanya kepada Gempak.

Fazley ditemui pada majlis pelancaran Starbucks Dream Beyond Mini-Tour di Starbucks Reserve, Tropicana Gardens Mall.

Mengulas lanjut kata Fazley, dia tidak berhubung atau dihubungi oleh rakan selebriti atau produksi yang terlibat dengan gimik tersebut selepas memuat naik hantaran di Instagramnya minggu lalu.



Bagaimanapun, atas dasar keluarga dalam industri, buah pandangan Fazley itu sebagai satu proses untuk sama-sama membentuk industri seni yang lebih sihat.

"Saya bersuara secara umum, dalam industri sama ada kita kenal rapat atau tidak kita sebenarnya satu keluarga. Sebagai keluarga kita ada proses tegur menegur dan puji memuji beri semangat.

"Sebagai orang yang lama dalam industri saya hanya memberikan pandangan, bukan teguran.

"Saya rasa ramai bersetuju, kalau gimik keterlaluan akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Mereka yang belum berkeluarga mungkin tidak merasakan apa yang saya rasa. Saya ada keluarga besar dan anak-anak yang sedang meningkat remaja jadi apabila mereka tahu gaduh itu gimik, saya pun keliru untuk jelaskan semula, jadi hal ini saya perlu lontarkan di media sosial untuk menjadi buah fikiran dan pandangan semua," ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial sepotong rakaman video memaparkan aksi seorang pelakon wanita kononnya dicekik terlalu kuat oleh rakan pelakon lelakinya. Bagaimanapun, mereka menegaskan ia hanya sebahagian daripada gimik promosi.

#pelakon #Penyanyi #Viral #Anak #Fazley Yaakob #Iqram Dinzly #Cef #Gimik #Mona Allen #Cekik #Hati Yang Dikhianati
;