Hiburan
"Gimik Pun Kena Tapis Supaya Tak Makan Diri" - Ray Asri
Penyanyi baharu Ray Asri enggan bergantung pada gimik semata-mata untuk melariskan nama dalam industri hiburan.
Kata penuntut jurusan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, kalau mahu melakukan gimik biarlah bertempat.
"Setiap artis pasti ada strategi sendiri untuk memasarkan diri, tetapi bagi saya pengurusan saya sudah punyai perancangan yang terbaik untuk memperkenalkan lagu dan seseorang penyanyi.
"Bagi saya biar orang kenal saya dengan cara baik dan bukan melalui cerita-cerita yang tak elok!
"Kalau ada sebarang gimik pun perlulah ditapis supaya tak makan diri nanti," katanya kepada Gempak.
Ray yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan pelancaran portal Dr. Irma di Shah Alam baru-baru ini menegaskan seseorang artis perlu bijak untuk berhadapan dengan situasi yang tidak terduga.
"Kalau tiba-tiba ada cerita tak elok tentang kita, artis harus bijak berdepan dengan khalayak.
"Peminat akan terus bercakap tentang sesuatu perkara walaupun artis itu sebenarnya tidak bersalah pun," tambahnya.
Ray sebelum ini diperkenalkan menerusi single Antidot Lara kini muncul dengan single kedua, Adiwira Sepi di bawah syarikat pengurusan Dr. Irma Entertainment.
Must-Watch Video