Pesohor media sosial, Athisha Khan akui teruja apabila diberi peluang menjadi penyampai anugerah di Gempak Most Wanted Awards 2022 (GMWA2022) yang berlangsung pada Ahad.

Athisha yang juga merupakan adik kepada pelakon Neelofa ini berkata dia menerima tawaran tersebut kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu di luar kebiasaan bidangnya sebagai seorang pencipta kandungan (content creator).

“Pertama kali menjadi penyampai, saya sebenarnya rasa sangat teruja. Rasa gementar tu tak ada sangat sebab pasangan penyampai saya juga seorang yang tenang.

“Semasa mula-mula dilamar untuk menjadi penyampai saya terkejut sebab tak pernah buat pun sebelum ini.

“Tapi disebabkan saya adalah seorang yang suka mencuba perkara baharu jadi saya terima,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai GMWA2022, Athisha menyatakan anugerah tersebut merupakan satu usaha yang baik bagi menghargai mereka yang terlibat dalam bidang pencipta kandungan.

“Saya tahu mereka yang terlibat dalam Gempak Most Wanted ini semuanya nama-nama besar.

“Bagi saya sebenarnya untuk content creator kami banyak bekerja sendiri, mungkin paling banyak pun ada pasukan yang kecil.

“Jadi bila dapat pengiktirafan seperti ini, saya rasa ia membuatkan kerja kami sebagai content creator menjadi lebih istimewa dan rasa lebih dihargai.

“Ini adalah sesuatu yang saya sebagai seorang content creator sangat-sangat menghargainya. Jadi saya pasti, mereka yang lain juga turut merasakan perkara yang sama,” ujarnya.

Terdahulu, pada malam anugerah itu menyaksikan pempengaruh dan usahawan Hafiz Mahamad dinobatkan sebagai Gempak Most Wanted 2022 dengan undian tertinggi sebanyak 125,288.

Hafiz juga turut membawa pulang satu lagi anugerah iaitu trofi Anugerah Digital Influencer Tergempak.

Selain Hafiz, Sofyank juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Gempak Hall of Fame di GMWA2022.