Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-5 dan Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022 telah mengumumkan senarai pencalonan tahun ini.

Filem India 'Two Friends' telah dicalonkan dalam lima kategori iaitu Pengarah Terbaik (Prasun Chatterjee), Pelakon Lelaki Terbaik (Arif Shaikh), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jayati Chakraborty), Sinematografi Terbaik (Tuhin Biswas) dan Lakon Layar Terbaik (Prasun Chatterjee).

Menariknya, kedua-dua pelakon utama filem Two Friends, Arif Shaikh dan Asik Shaikh menjadi calon termuda dan akan berentap untuk kategori sama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik.

Turut tercalon dalam kategori sama ialah pelakon utama filem Prebet Sapu, Amerul Affendi di samping dua calon lain iaitu Mostafa Monwar (No Ground Beneath the Feet, Bangladesh) dan Sithan Hout (White Building, Kemboja & Perancis).

Filem Prebet Sapu juga tercalon dalam kategori Lakon Layar Terbaik dan Sinematografi Terbaik berentap dengan filem Two Friends dan Memoryland (Vietnam, Jerman) yang turut tercalon dalam dua kategori sama.



Sebanyak 100 filem dihantar untuk pencalonan MGGA tahun ini. 10 filem terbaik dipilih iaitu 'Drowning In Holy Water' (Iran), 'Full Time' (Perancis), 'Hail, Driver!/Prebet Sapu' (Malaysia), 'Memoryland' (Jerman, Vietnam), ' No Ground Beneath The Feet' (Bangladesh), 'Rehana' (Singapura, Bangladesh), 'The Silent Forest' (Taiwan), 'Two Friends' (India), 'Whether The Weather Is Fine' (Filipina, Singapura) dan 'White Building' (Perancis, Kemboja).

MGGA 2022 telah menjemput lima juri untuk mengadili calon yang bertanding tahun ini iaitu Christine Hakim (Pelakon Indonesia) sebagai Presiden Juri, Lav Diaz (Pembikin Filem Filipina), Sabrina Baracetti (Festival Presiden Udine Far East Film Festival), Ho Wi Ding (Pengarah Malaysia yang berpangkalan di Taiwan) dan Chong Keat Aun (Pengarah Malaysia).



Lifetime Achievement Award Malaysia Golden Global Awards ke-5 2022

Festival tersebut akan menyampaikan dua anugerah untuk Lifetime Achievement Award kepada pengarah Kim Dong-Ho dan Hou Hsiao-Hsien.

Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Malaysia dan Malaysia Golden Global Awards, Joanne Goh berkata pihaknya bercadang untuk memberikan anugerah itu pada dua tahun lalu.

"Kami sebenarnya bercadang untuk menyampaikan anugerah ini kepada pengarah Hou Hsiao-Hsien pada dua tahun yang lalu, malangnya kami terpaksa menangguhkan rancangan ini sebab pandemik.

"Mereka telah menghasilkan banyak karya yang terkenal kepada festival-festival dan seluruh industri filem.

"Kim Dong-Ho ialah salah seorang pengasas Festival Busan International Film Festival dan Gangneung International Film Festival, beliau juga merupakan Presiden Kehormat Malaysia International Film Festival kita.

"Tanpa bimbingan beliau, saya mungkin tidak mempunyai semangat untuk menjalankan MIFFest dan MGGA sehingga hari ini," katanya.

Tayangan Filem MIFFest

MIFFest ke-5 tahun ini akan dilancarkan dengan tayangan filem dari Amerika Syarikat, ‘Edge of The World’. Filem yang mengisahkan kehidupan Kapten James Brooke itu telah menjalani penggambaran sepenuhnya di Sarawak dan mendapat sokongan daripada Sarawak Tourism Board (STB).

Pengarah Michael Haussman dan pelakon-pelakon filem Edge of the World, Josie Ho serta Bront Palarae akan bertemu dengan penonton di Majlis Perasmian MIFFest yang akan diadakan pada 10 Julai.

Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-5 akan dijalankan di Dadi Cinema, Pavilion KL dari 10 hingga 15 Julai 2022, manakala Malaysia Golden Global Awards ke-5 akan diadakan pada 16 Julai di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

MGGA akan disiarkan di Unifi TV (siaran langsung di Malaysia), Viu TV HK (siaran penangguhan di Hong Kong), dan YouTube MIFFest (siaran langsung di seluruh dunia).

Untuk maklumat lanjut tentang festival tersebut, sila layari miffest.com.my