Penyanyi Tyka Zatyka menafikan menumpang populariti watak animasi popular Upin & Ipin selepas menyanyikan semula lagu ‘Goyang Upin & Upin’ yang ditukar judul kepada ‘Goyang Sama-Sama’.

Tyka Zatyka atau Noor Amierazatyka Ayob, 25, berkata, lagu berkenaan adalah hasil usahasama Les Copaque Production (LCP) dan Nova Music.

“Saya diberitahu ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan. Saya difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan, tapi rezeki berpihak kepada diri ini. Satu penghormatan untuk artis baru seperti saya di atas peluang manis ini.

“Rakaman lagu dibuat pada 12 Ogos. Kebetulan sejak menyertai D’ Academy Asia (DAA) musim empat, saya terdedah dengan lagu dangdut. Jadi mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” katanya optimis.

Tambahnya lagi, video muzik lagu tersebut dirakamkan di Johor Bahru pada 12 September lalu dan sudah pun ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 16 Oktober lalu.

“Angka 12 juga seperti membawa tuah kepada saya. Macam saya katakan tadi, lagu itu dirakamkan pada 12 Ogos lalu. Video muzik pula pada 12 September. Sebesar impak lagu itu dapat diterima di Indonesia khususnya serta Malaysia, saya juga mengharapkan yang sama untuk versi baru ini.

“Jujur menyanyikan lagu dandgut itu bagai sebati dalam diri. Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain.

“Bukan mahu mendabik dada, tapi saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus bukti kemampuan diri ini bersifat versatil.

“Di persaingan DAA 4 pun irama dangdut itu yang membantu nama saya dikenali di sana. Mungkin juga irama dangdut yang akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini. Saya tak kisah jika ada yang menganggap diri ini menumpang populariti Upin& Ipin. Semuanya itu soal rezeki,” katanya.

Judul asal lagu ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik Ahmad Zakri Tomirin itu ialah ‘Goyang Upin & Ipin’ dan dinyanyikan oleh suara karakter asal animasi berkenaan.

Selain DAA 4, Tyka juga pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyiandi Malaysia seperti Seiras Seirama yang disiarkan di Astro, Bintang Klasik RTM dan 3 Juara.

Tyka juga pernah muncul dengan single ’Wangikanlah Hatimu’ berduet dengan Noraniza Idris dan single ’Cinta Happy’.

Sementara itu, Eddie Hamid selaku Pengarah A&R Nova Music optimis dengan pemilihan Tyka dalam projek berkenaan.

“Saya percaya gabungan lagu animasi Upin & Ipin dan Tyka ini seperti serampang dua mata kerana kedua jenama itu ada pengaruh di Indonesia khususnya.

“Jika versi asal lagu itu ditonton lebih 65 juta, siapa tahu tuah itu akan beralih dan merebak ke versi nyanyian Tyka pula. Seperti judulnya yang turut diubah, beberapa bahagian lirik juga ditukar dan disesuaikan untuk versi baru ini.

“Tyka menjadi pilihan tepat pihak LCP dan Nova Music di antara cadangan penyanyi lain kerana kebolehannya menyanyikan lagu dangdut dengan baik. Kita harap lagu ini akan diterima baik bukan saja di Indonesia, Malaysia bah kan di seluruh dunia,” kata Eddie Hamid.