Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#GTheUntoldStory: Jadi ‘Musuh’ Wanita, Sophia Albarakbah Pesan: “Tak Perlu Overthinking & Paranoid”

Maliah Surip
04/11/2023 05:40 MYT
"Cantik, memang cantik. Patutlah…" Itu yang terbersit daripada hati sebaik mata memandang sosok putih gebu, sederhana tinggi dengan senyum merekah di bibir saat berkenalan perdana kali.

Sophia Albarakbah menghulur tangan bersalaman, berbasi basi dan ya — begitu sahaja dia meninggalkan pesona cantiknya seorang wanita kepada kami pada pertemuan untuk edisi G The Untold Story kali ini.

Sementara kata ‘cantik’ dan ‘patutlah’ pula merujuk kepada bagaimana akan ada banyak hati yang rela hati jatuh di dakapannya tanpa pelakon baru yang namanya ‘berapi-api’ saat ini dilabel dengan pelbagai konotasi kurang baik ini ‘bekerja keras’ untuk menggoda.



I’m not into that”, kata Sophia merujuk kepada dirinya seorang wanita yang suka menggoda apa lagi merosakkan hubungan cinta yang telah terjalin sama ada pasangan kekasih mahupun suami isteri.

Dan tegasnya lagi sebelum kami berbicara panjang lebar tentang kehadiran seorang Sophia Albarakbah yang membuat kacau bilau dan kurang senang di hati wanita, dia tidak mahu dikaitkan atau menamakan selebriti lelaki yang terus dikaitkan dengan dirinya kerana mahu khalayak melihat dia sebagai pelakon yang masuk ke dunia hiburan untuk menjadi pelapis seni berkaliber.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai hal ini (goda-mengoda, jadi wanita perosak rumah tangga). Saya tidak pernah runtuhkan institusi perkahwinan sesiapa,” kata pemenang Aktres Filem Popular ABPBH ke-35 ini.

Berikut isi temubual G The Untold Story bersama anak kepada bekas Ratu Cantik Malaysia, Marina Wong mengenai suhu panas dirinya dan hala tuju sebagai pendatang baharu dunia seni tempatan.

#G The Untold Story: Jadi siapa Sophia Albarakbah sebenarnya? Maksudnya di luar konteks kisah-kisah negatif dan liar tentang anda.
Sophia Albarakbah: Saya hanya wanita biasa sama macam orang lain. Nama sebenar dan nama pentas saya memang Sophia Albarakbah. Ibu saya seorang Cina yang memeluk Islam berkahwin dengan ayah berketurunan Arab. Ibu adalah bekas Ratu Cantik Malaysia dan selepas memeluk Islam ibu menukar nama kepada Marina Wong Binti Abdullah. Keluarga ayah pula dari Terengganu dan Kelantan.

Saya anak kedua daripada empat beradik perempuan. Satu-satunya yang masuk dalam industri seni. Hidup saya juga ringkas, jika tidak bekerja lebih banyak luangkan masa di rumah, keluar dengan adik atau kakak atau kekasih. Main kuda atau memasak.

Saya seorang introvert dan super shy. Seorang yang suka belajar kerana itu saya habiskan pengajian dalam dua bidang termasuk Dietetik dan Bioteknologi.



#G: Tapi anda juga dikenali sebagai Sophie Koshka?
S: Oh, saya gunakan nama Sophie Koshka lama sebelum menjadi pelakon. Koshka adalah bahasa Rusia yang bermaksud kucing. Saya seorang pencinta kucing jadi sewaktu punya media sosial saya letak nama saya iaitu Sophia dan cantumkan dengan nama Koshka atau kucing.

Sophia Albarakbah Jadi Model Tangan

#G: Bercakap tentang lulusan dan pekerjaan anda kini adalah dua bidang yang sangat berbeza. Kenapa tiba-tiba jadi pelakon?
S: Secara tidak sengaja. Saya tidak berminat mahu jadi pelakon tapi sewaktu membuat ijazah, rakan ajak pergi satu audisi. Dia kata ambil sebagai pengalaman hidup dan selepas cuba saya suka. Saya jatuh cinta dengan lakonan. Mungkin kerana apabila berlakon saya bebas menjadi watak lain daripada diri sendiri jadi saya mahu berkembang dan meneroka sesuatu yang baru dalam setiap penampilan saya.

Tapi sebenarnya sebelum berlakon saya memang sudah menjadi model produk. Cuma saya hanya menjadi model untuk tangan. Ya, tangan saya banyak digunakan dalam iklan-iklan seperti Nescafe, U Mobile, Samsung untuk selama lebih dua tahun sebelum akhirnya saya menceburi bidang komersial dengan ‘menjual’ wajah pula.

#G: Tangan? Kenapa tangan?
S: Sebab saya rasa tangan adalah anggota paling menarik pada badan saya. Malah lebih menarik daripada wajah saya. Lagipun saya terlalu malu untuk berada di depan kamera.

'Musuh' Wanita, Penyondol, Penggoda

#G: Baru beberapa tahun masuk industri seni nama anda tiba-tiba meledak dengan kisah atau laporan yang tidak manis. Sophia Albarakbah jadi seperti satu ancaman dan sangat dibenci wanita kerana anda dipercayai suka malah boleh membuat hubungan percintaan orang lain kucar kacir atau kandas.
S: Saya tidak tahu kenapa orang suka create (reka) benda yang tidak ada. Kadang-kadang bila saya duduk diam pun, orang tetap buat. Ini adalah satu misteri buat saya.

Buat para wanita di luar sana, tidak perlu takut dengan saya. Saya not into it (menggoda). Saya wanita biasa saja, sama macam anda semua.

Jadi tidak perlu overthinking dan paranoid.



#G: Tentang pelbagai labl yang tak elok didengar dan disebut seperti penyondol lah, wanita penggoda lah, apa sajalah. Apa yang anda rasa?
S: Ini semua (label) sangat keterlaluan buat saya. Saya sedih kerana orang mudah melabel seseorang tanpa kenal siapa saya pun. Malah hampir semua yang meletak label kepada saya langsung tidak pernah mengenali siapa saya.

Saya menerima banyak direct message (DM) daripada perempuan yang mengeluarkan kata-kata kesat dan sangat tidak bermoral tanpa kenal saya. Walaupun sedih saya tidak boleh halang orang untuk bercakap mengenai saya. Let them talk kerana mereka tidak tahu saya dan tidak tahu apa yang berlaku.

Dulu mungkin masa mula-mula dikecam saya tidak faham dengan dunia seni walaupun ibu ada memberi gambaran tentang dunia glamor. Tapi selepas lama sikit dan ada pengalaman, saya sudah mula faham dan cuba menyesuaikan diri dengan baik. Sebab itu saya tidak boleh halang apa orang mahu buat atau cakap tentang saya. Yang penting keluarga kenal dan sentiasa sokong kerana mereka sangat kenal saya berbanding orang yang mengecam.



#G: Tentang cerita anda suka, goda, ada hubungan dengan pelakon dan penyanyi lelaki itu pula macam mana?
S: Tidak ada apa (hubungan) dan tiada apa untuk dijelaskan. Saya tidak mahu bercakap atau menyebut nama sesiapa kerana bukan tujuan saya mencipta sensasi atau publisiti murahan dengan mengheret nama orang lain dalam hidup saya.

Cukup-cukuplah kaitkan saya dengan sesiapapun. Saya tidak mahu bercakap mengenai hal ini (goda-mengoda, jadi wanita perosak rumah tangga). Saya tidak pernah runtuhkan institusi perkahwinan sesiapa.

Saya juga tidak mencari publisiti murahan, saya datang dalam industri ini untuk bekerja dan berjaya atas bakat saya. Saya juga harap pihak media tidak memperbesarkan isu yang boleh memberi impak kurang baik kepada sesiapa.

Fokus saya adalah karier. Dan seperti yang saya katakan, saya sangat tidak berminat, im not into it.

Oleh kerana saya selalu berhadapan masalah apabila berkaitan lelaki, saya kini lebih berhati-hati dalam berkawan (lelaki). Saya juga memilih untuk berkawan dengan wanita berbanding lelaki untuk mengelakkan sebarang salah faham dan perkara yang boleh menimbulkan cerita tidak elok di kemudian hari.

Dapat Hadiah, Ajak Keluar, Sophia Pilih Lelaki Yang Tak Suka Mendesak

#G: Okay kalau wanita benci anda, mesti ada golongan lelaki yang suka mahu mendekati anda. Pernah digoda, diberi hadiah atau apa sajalah daripada lelaki yang berminat mendekati anda?
S: Ada banyak, dari dalam industri sendiri pun ada. Ada yang ajak keluar makan malam, beri hadiah dan sebagainya. Mereka beri atau tanya kepada Mama (panggilan buat pengurus).

Tapi saya minta tolak ajakan atau pulang semua pemberian. Sekali lagi saya cakap, saya tidak berminat. I'm really not into it. Tak perlulah beri barang, hadiah atau bawa saya keluar ke makan ke. Saya tidak mahu.

#G: Bercakap mengenai publisiti murahan. Kisah anda dan doktor itu benar? Itu sengaja direka untuk melarikan topik lain atau kalian memang pasangan kekasih?
S: Itu bukan sengaja dicipta (cinta dengan doktor). Kami sudah berkenalan selama empat tahun sebelum dua tahun terakhir bercinta dan kini masih menjadi rakan baik.

Hubungan kami bukan publisiti murahan cuma sebab hanya baru sekarang selepas banyak orang kenal saya, baru orang perasan saya ada kekasih. Sebenarnya selama ini saya dan dia keluar makan atau apa saja macam biasa tapi tidak ada orang ambil peduli pun.



#G: Kriteria lelaki macam mana yang anda cari?
S: Saya orang yang tidak akan memulakan langkah pertama walaupun suka pada seorang lelaki. Saya akan duduk saja dan lihat kecuali dia yang memulakan langkah.

Saya suka family man, tidak biadab, boleh jaga saya, suka budak-budak dan bertanggungjawab. Jika dia mahu kahwin saya, kena sayang seluruh keluarga saya dan faham karier saya.

Saya tidak suka dan takut lelaki yang mendesak misalnya dia memang dalam fasa ‘saya nak mencari’. Saya suka percintaan terjadi secara semula jadi. Go with the flow.

#G: Tentang statusnya pula?
S: Sudah tentu bukan suami orang! Tapi saya tidak kisah lelaki itu bujang mahupun duda. Jika dia pernah berkahwin misalnya, itu adalah tentang masa silamnya dan bukan masalah untuk saya. Saya percaya saya berkahwin dengan individu. Yang penting dia lelaki single.

#G: Dengan semua hal yang kurang enak ini, bagaimana anda melihat tahun 2023? Dari segi peribadi dan karier?
S: 2023 adalah tahun yang ‘gila’. Crazy roaller coaster untuk saya. Sangat sukar terutama pada awal tahun ini selepas isu yang terjadi.

Saya waktu itu (dilanda isu jalin hubungan dengan Alif Aziz) dikecam teruk sehingga mahu berputus asa dan rasa patut berhenti jadi anak seni. Tapi mujur saya mempunyai sistem dukungan yang sangat baik dan apabila saya fikirkan, saya tidak boleh berputus asa terhadap karier yang saya suka.

Malah karier saya juga mula berkembang pada tahun ini dan saya tidak mahu melepaskannya selepas terlalu banyak kesukaran yang dilalui sejak dulu sehingga boleh berada pada tahap ini.

Matlamat saya dalam industri ini besar dan masih panjang perjalanan. Masih banyak watak yang ingin saya terokai. Masih banyak ilmu yang ingin saya ambil daripada karyawan seni lain. Jadi saya perlu fokus dan belajar menerima semua perkara dengan lebih baik.



#G: Cakap mengenai karier berkembang, apa saja yang ada dalam profil anda sekarang?
S: Saya bermula sebagai pelakon filem dan saya rasa sebab itu saya menang dalam kategori pelakon filem popular untuk tahun ini. Selepas bermain filem saya masuk ke dunia lakonan mengikut nasihat syarikat saya bernaung untuk menjadi lebih dekat dengan audiens.

Sekarang sedang hangat ditayangkan drama From Saga With Love di VIU dan saya masuk ke set penggambaran filem seram komedi berjudul Saka Perawan. Saya memainkan karakter hantu dalam filem arahan Ahmad Idham ini.

Kemudian saya akan masuk ke set penggambaran filem arahan Datuk Afdlin Shauki iaitu Harimau Malaya: The Untold Journey. Jadi untuk menutup tahun ini saya ada dua filem untuk disudahkan.

Akan datang, kami masih dalam pertimbangan menerima satu projek filem dan drama. Saya mahu terus berlakon dan berharap orang pandang atau kenal saya kerana bakat, kebolehan saya.

Bukan kerana bila orang Google nama saya, orang kenal saya melalui kisah-kisah negatif. Walaupun saya juga perlu faham inilah asam garam (sensasi) dunia seni, saya benar-benar mahu menjadi anak seni yang serius menekuni bidang ini. Sebab itu saya belajar dan mahu memperbaiki kelemahan dengan terus bekerja dan bekerja.
#pelakon #Viral #Kontroversi #Cover #Cantik #G The Untold Story #Sophia Albarakbah
;