Seorang guru melahirkan rasa terkejut dan terkedu apabila melihat jawapan yang ditinggalkan oleh seorang pelajar ketika menanda kertas peperiksaan bagi subjek Bahasa Inggeris baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, guru yang dikenali sebagai Nurzuhaili Shamsudin itu berkata, dia termenung seketika apabila melihat jawapan yang diberikan oleh pelajarnya.

“Sambil mengawasi pelajar menduduki peperiksaan hari ini, saya menanda soalan esei kertas Bahasa Inggeris Tingkatan 3 yang berakhir semalam.

“Ramai yang tinggalkan jawapan kosong dan tak kurang juga meninggalkan komen minta maaf kerana tak dapat menjawab. Ada juga yang menyalin semula soalan dan ada juga yang menyalin semula petikan lain.

“Ini salah satu daripada sampel jawapan yang menarik perhatian saya. Termenung sekejap…” tulisnya.

Menerusi kertas soalan berkenaan, para pelajar diminta untuk menulis esei berkenaan tindakan yang diambil selepas menyaksikan kejadian pecah rumah di rumah jiran.

Begitupun murid tersebut menjawab: “Assalammualaikum teacher, saya mana reti… tahan tangkoi (alat menangkap ikan) saya reti la haha Mana Mana Rangcak Berdosssa,” tulis pelajar berkenaan sambil merujuk kepada audio viral TikTok.

Meninjau pada ruangan komen, ramai yang kurang senang dengan tindakan pelajar berkenaan.

“Tak baca elok-elok, terus tengok gambar, ingatkan budak sekolah rendah, tapi bila baca balik posting, fuhhh form 3 boss, naya kalau level form 3 sekarang macam ni. Ada dah la ke laut, dengan spellingnya,” tulis seorang pengguna Facebook.

“Adakah ni pelapis-pelapis masa depan untuk mentadbir negara bangsa dan agama,” ujar seorang nertizen pula.

“Tahniah ibu bapa yang berjaya melahirkan adab zaman milenia. Yang betul dijanggalkan, yang salah dibiasakan,” luah seorang lagi wargamaya.

Dalam pada itu, ada yang berpendapat bahawa jawapan pelajar tersebut menggambarkan betapa kosong jiwanya.

“Masyarakat perlu sedar... Ini adalah signal anak-anak yang telah koyak motivasi. Jiwa dia kosong dalam tempoh yang agak lama.

"Jati diri mereka perlu dibina semula. Selamilah mereka. Bantu mereka dengan pendekatan kaunseling. Janganlah menghukum... Sebenarnya terlalu ramai yang begini. Mereka perlukan perhatian... Bukan amarah,” katanya.