“Guys, Duit Raya Atau Ang Pow Kalau Orang Bagi Kita Ambil, Kalau Orang Tak Bagi Jangan Minta” - Michael Ang
Asyikin Mayudin
16/04/2024 05:55 MYT
16/04/2024 05:55 MYT
Pengarah dan pelakon Michael Ang berkongsi mengenai pesanan ibunya apabila dia menerima ‘ang pow’ daripada orang ketika zaman kanak-kanak.
Jangan Meminta Duit Raya
Menerusi perkongsian di Instastory, Michael berkata ibunya selalu berpesan agar membuka ang pow yang diterima itu dirumah selain jangan meminta-minta wang daripada orang yang tidak memberi.
“Saja nak bercerita la zaman kita budak, mom kita selalu cakap ‘jangan you all berani buka ang pow yang siapa-siapa bagi depan orang tu. Nak buka bila sampai rumah kalau tak, mom akan lepuk saja atau cubit kat situ juga.
“Guys duit raya atau ang pow kalau orang bagi kita ambil, kalau orang tak bagi jangan minta. Dan yang penting niat dia orang nak bagi tak kesah la berapa banyak dalam tu,” katanya.
Terkenang Momen Dapat 80 Sen
Pada perkongsian yang sama, Michael juga terkenang momen dia mendapat ang pow yang berisi 80 sen yang diberikan oleh neneknya.
“Seingat saya, saya pernah terima ang pow serendah 80 sen hingga la 5k zaman kanak-kanak. Tapi yang 80 sen tu la yang paling best sebab itu daripada nenek.
“Nak dapat ang pow dia kena buat macam-macam ok dan kita buat saja. 80 sen tu tak berubah dari kita kecil sampai la kita 20 tahun apabila dia meninggal dunia.
"I miss the 80 Sen ang pow sebab dia berbunyi kling kling! Itu saja cerita dia!” kongsi Michael.