Peserta Gegar Vaganza 2019 (GV2019), Naqiu Boboy tidak terkilan apabila ada wargamaya yang berpendapat imejnya sama seperti pelakon Iqram Dinzly.

Menurut Naqiu, dia masih lagi bereksperimen untuk mencari imej yang baru setelah 12 tahun tidak aktif dalam industri hiburan negara.

“Saya tidak terkilan dan terkesan dengan apa juga kata netizen tentang imej sekarang. Saya terima apa juga komen yang positif atau negatif kerana ia sudah menjadi lumrah.

”Sebenarnya saya masih mencari-cari imej yang bersesuaian untuk dipersembahkan pada konsert GV2019,” kata Naqiu kepada Gempak.



Naqiu ditemui selepas selesai konsert pertama GV2019 yang diadakan di Auditorium MBSA Shah Alam pada Ahad.

Tambah Naqiu, dia juga tidak mahu terikut-ikut dengan trend imej K-Pop yang semakin menjadi pilihan anak muda kini.

“Bukannya saya nak mengikuti trend K-Pop tapi saya memberi sepenuh kepercayaan kepada penata gaya untuk mencari imej yang sesuai.

“Ramai orang perlu faham saya berasal daripada boyband bernama Boboy tapi pada masa yang sama, saya beraksi solo di atas pentas GV2019.

“Saya nak orang nampak perbezaan Naqiu dulu dan sekarang. Lagi pun GV merupakan pertandingan yang berprestij jadi saya perlu tampilkan kelainan,” ujarnya lagi.

GV2019 dibarisi enam penyanyi solo lelaki iaitu Sham Visa, Jatt, Roy, Ameer Sofazr, Hady Mirza dan Naqiu Boboy.

Wann, Mazleela, Feeza, Noorshila Amin dan Nurfatima pula mewakili peserta wanita.

Turut serta dalam GV6 ialah dua peserta berkumpulan iaitu Kool dan One Nation Emcees.

GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

Pertandingan ini turut ditaja bersama oleh Adabi, Powercat, Cuckoo, Uphamol dan Digi selaku telco rasmi.

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.