Persembahan penyanyi Tomok menerusi lagu Awas (KRU) di konsert minggu suku akhir Gegar Vaganza 9 (GV9) dianggap tidak mencapai ’standard’ kebiasaannya.

Malah, rata-rata netizen di laman sosial meletakkan kesalahan itu kepada penyanyi Bob Yusof yang memilih lagu itu untuk dinyanyikan oleh Tomok pada malam semalam.

Tampil memohon maaf, Bob bagaimanapun menjelaskan dia memilih lagu tersebut yang sememangnya sudah ada dalam senarai pilihan Tomok.

“Segala proses, orang luar sana boleh cakap dan salahkan, sebab mereka tak tahu apa yang berlaku di belakang pentas. Lagu itu memang ada dalam wish list Tomok.

“Jadi, saya diberi tugas untuk pilih salah satu lagu. Dalam wish list tu, boleh kata semua lagu lebih kurang genre. Saya tahu Tomok nak bawakan kelainan dalam setiap persembahan.

“Saya fikir, dia pernah bawa lagu Backstreet Boys dengan baik dan lagu Awas itu pun lebih kurang sama. Saya mohon maaf kepada orang luar sana,” katanya kepada Gempak.

Bob turut menegaskan dia tidak pernah mempunyai niat buruk terhadap rakan baiknya itu sebaliknya mereka lebih menyokong satu sama lain.

“Saya tak ada niat untuk perdajalkan sesiapa… kami semua sokong satu sama lain. Daripada kita nak perdajalkan orang, kan lebih baik kita bangunkan sesama kita.

“Bagi saya, semua peserta GV9 hebat dan masing-masing ada kredibiliti sebagai penyanyi. Ada masa kita tak dapat buat persembahan yang baik.

“Saya sendiri pernah berada di kedudukan bawah. Setiap persembahan ada kesusahan. Tapi kesusahan itu yang orang tak tahu sebab biar hanya kita saja tahu,” ujarnya.

Terdahulu, juri tetap Datuk Ramli MS menganggap persembahan Tomok yang mendapat markah 67.30% tidak mencapai standard kebiasaannya disebabkan audio bermasalah.

Sementara itu, Tomok juga berharap agar netizen berhenti menyalahkan Bob memandangkan lagu tersebut juga merupakan pilihannya.

“Bob tak salah, lagu tu memang dalam wish list saya dan Bob yang pilih salah satu. Jadi, janganlah marah dan salahkan Bob,” kata Tomok.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!