Hael Husaini sentiasa mencuri tumpuan khalayak bukan sahaja dari hasil karya nyanyiannya tetapi juga personalitinya.

Dan kali ini pasti tumpuan akan diberikan lagi kepada penyanyi ini kerana buat perdana kalinya Hael bergelar pelakon selepas 17 tahun berportfolio sebagai penyanyi dan komposer.

“Saya ingin mencuba perkara baru dalam industri seni dan lakonan merupakan cabang yang belum saya ceburi. Ini membuatkan saya teruja. Saya sanggup untuk menjalani kelas lakonan hanya untuk drama My Famous Ex Boyfriend yang ditawarkan oleh pihak Astro ini,” ujar Hael yang akan membawakan watak Haque Zuhal dalam drama arahan Hadith Omar tersebut.

Walaupun khalayak sedia maklum bahawa jadual penyanyi Jampi ini sangat padat, namun ini bukanlah satu halangan buat Hael untuk menjayakan drama ini.

“Hael telah menolak pelawaan beberapa pengarah sebelum ini, namun terpanggil dan bersetuju untuk menerima drama ini kerana kesesuaian watak yang diberikan dengan diri Hael sendiri,” tambahnya yang turut berdebar menunggu respon peminat terhadap lakonan sulungnya ini.

My Famous Ex Boyfriend adalah sebuah drama yang diadaptasikan daripada 'best selling novel', hasil karya Nurul Syahida Kamarudin, yang bertajuk Petrichor.

Mengisahkan Sameera yang menjadi kekasih kepada Haque Zuhal yang merupakan remaja kegilaan ramai perempuan namun hubungan tersebut putus di tengah jalan.

Turut membintangi drama ini adalah Nadhir Nassar dan Qasrina Karim. Drama arahan Hadith Omar ini, bakal ditayangkan dalam slot Megadrama di saluran Astro Ria.