Hiburan
Hafiz Hamidun Cuak Diugut Suami Orang
Penyanyi Hafiz Hamidun, 32, mendedahkan ada lelaki yang berstatus suami orang mengugut untuk memukulnya menerusi sebuah panggilan telefon.
Semuanya kerana perkongsian kata-kata nasihat Hafiz di laman Twitter dan Facebook yang didakwa menyebabkan rumah tangga lelaki itu dilanda masalah.
“Kejadian ini berlaku pada tahun lalu. Saya dihubungi oleh seorang lelaki pada tengah malam dan dia marah-marah kepada saya. Dia mendakwa saya menjadi punca rumah tangga dia dengan isterinya bermasalah dan dia menyalahkan tulisan saya di laman sosial.
“Dia bertanya di mana saya tinggal dan dia mahu menghantar orang untuk memukul saya. Sejurus sahaja panggilan tamat, saya terus menyekat nombor telefonnya di telefon bimbit saya. Saya akui saya rasa cuak tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan perkara tersebut,” kata Hafiz kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai kekerapannya berkongsi kata-kata nasihat di laman Facebook dan Twitter, Hafiz menjelaskan ada individu yang tidak mengenali dirinya sebagai penyanyi tetapi mereka mengenali Hafiz sebagai seorang ahli motivasi yang sering melakukan perkongsian di laman sosial
“Ada dikalangan pengikut saya di laman sosial Facebook mengenali saya sebagai seorang yang selalu berkongsi kata-kata positif dan ayat-ayat nasihat, bukannya sebagai seorang penyanyi dan penerbit lagu.
“Menerusi perkongsian secara kerap di laman Facebook, pengikut saya meningkat dari 200,000 orang kepada 1,000,000 orang dalam masa dua bulan,” katanya yang ditemui di majlis sambutan media sempena sambutan ulangtahun ke-10 syarikat miliknya, Arteffects International.
Dalam majlis yang sama, Hafiz turut melancarkan single terbarunya yang berjudul Janjiku. Hafiz turut mengadakan soft launch bagi bukunya, Cerita Hati Hafiz Hamidun dan jenama wangian miliknya, Suflyka.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video