Hiburan
Hafiz Suip Syukur Keadaan Ibu Sudah Stabil Selapas Pembedahan Potong Kaki Kiri Akibat Diabetes – “Saya Rancang Nak Buat Kaki Palsu…”
Penyanyi Hafiz Suip berkongsi keadaan kesihatan ibunya, Halizawati Salleh, 60, yang terpaksa memotong kaki sehingga ke bahagian lutut akibat kompilasi penyakit diabetes.
Kata Hafiz atau nama lengkapnya berkata Mohamad Hafiz Mohamad Suip operasi berkenaan dilakukan atas saranan doktor supaya dapat mengelakkan jangkitan kuman berlaku memandangkan ibunya juga mengalami kompilasi penyakit lain.
"Doktor bimbang kalau hanya buang bahagian luka akan menyebabkan berlaku jangkitan kuman berulang.
"Jadi kaedah paling selamat adalah dengan memotong kaki kirinya sehingga ke paras lutut walaupun asanya hanya luka kecil di bahagian jari,' katanya kepada Gempak.
Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert By Ajai & Mega Friends yang diadakan di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada Selasa.
Bagaimanapun, pelantun lagu Awan Nano itu meluahkan rasa syukur apabila ibunya kini sudah berada dalam keadaan stabil dan mampu menerima hakikat apabila kakinya terpaksa dipotong.
"Bayangkan selama ini dia hidup dengan kedua-dua belah kaki tetapi sekarang sudah tidak ada sebelah kaki.
"Alhamdulillah syukur sebab semangat ibu sangat tinggi dan dia reda dengan takdir ini. Sekarang kamilah 'kaki’ (penguat) ibu," tambahnya lagi.
Rancang buat kaki palsu
Dalam pada itu, Hafiz turut meluahkan hasrat untuk menempah kaki palsu buat ibunya agar memudahkan pergerakan seharian ibunya.
"Insya-Allah dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi baru rancang nak buat kaki palsu buat ibu. Kalau buat sekarang takut dia tak selesa pula," katanya.
Terdahulu, Hafiz ada memberitahu sudah berpindah ke Kuching, Sarawak kerana ingin menguruskan ibunya yang dirawat di hospital akibat paru-paru berair.
Hafiz memaklumkan, ibunya juga turut menghidap penyakit kencing manis serta masalah jantung yang memerlukan pengawasan rapi serta sokongan keluarga.