Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Hairul Azreen Bawa Keluarga Raya Di Australia

Kamaruddin Razal
18/06/2018 00:00 MYT
Pelakon Hairul Azreen membawa keluarga besarnya bercuti di Australia sempena sambutan Syawal tahun ini.

"Kami akan menyambut Aidilfitri selama dua hari di Shah Alam dan selepas itu saya membawa keluarga besar saya bercuti di Australia.

"Saya mengambil peluang Hari Raya ini untuk membawa keluarga bercuti ke sana kerana saya sendiri tidak mempunyai rehat semenjak Disember tahun lalu.

"Alhamdulillah, rezeki dalam lakonan tidak berhenti dan saya hanya boleh rehat selepas tamatnya filem Paskal. Saya sangat teruja menanti percutian ini," kata Hairul ketika ditemui di acara Jakel Barulah Raya baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Hantu Kapcai ini, dia dan isteri, Hanis Zalikha akan membawa keluarga Hanis untuk bercuti pada bulan Oktober nanti.

"Jika kali ini saya bawa keluarga saya, bulan 10 nanti pula saya akan bercuti bersama keluarga Hanis. Insya-Allah, kami akan ke Jepun pula.

"Bercakap mengenai persiapan baju raya pula, semuanya tidak menjadi masalah kerana saya, isteri dan anak kami, Yusuf Iskandar menjadi wajah kempen Jakel Barulah Raya untuk tahun yang kedua. Alhamdulillah," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Hairul
#pelakon #Hairul Azreen #Pelakon