Tular di media sosial mengenai sebuah video memaparkan kesedihan seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu yang tidak dibenarkan membeli makanan secara pandu lalu di sebuah restoran makanan segera.

Menerusi sebuah video di TikTok, wanita terbabit menjelaskan dia sebelum ini pernah membeli di restoran berkenaan tanpa sebarang masalah.

Namun, entah bagaimana, pembeliannya baru-baru ini tidak dilayan dan kehadirannya di restoran tersebut hanya sekadar membuang masa.

“Sebenarnya saya kecewa. Tadi saya masuk pandu lalu, ‘screen’ cakap nak apa, tapi saya tak boleh dengar dan cakap.

“Hari itu staff yang saya kenal cakap boleh pandu lalu. Saya tulis apa-apa atau tunjuk menu yang saya nak. Staff tu baik dan faham saya pekak.

“Tapi hari ini saya pergi melalui pandu lalu yang sama, tiba-tiba muncul staff lain pergi ke kaunter dalam.

“Saya cakap kenapa tak boleh ambil order? Saya pekak kena pergi kaunter semula?,” tulisnya.

Menurutnya, kegagalan untuk membeli makanan secara pandu lalu ternyata membuatkan dirinya kecewa.

“Lama saya siapkan gambar tunjuk menu dalam telefon saya. Saya kecewa hak saya diingkari buat kali kedua. Bazir masa saja.

“Saya berharap video ni dapat membantu pihak restoran berkenaan meningkatkan khidmat yang lebih baik. Bukan nak viral atau burukkan imej.

“Saya harap semua faham maksud saya,” katanya.

Sementara itu, menerusi komen di posting wanita tersebut, ramai yang menyarankan kesemua restoran yang menawarkan khidmat pandu lalu membenarkan pembelian oleh golongan OKU.

Menurut mereka, golongan ini juga berhak untuk merasai kemudahan yang sama.