Pelakon Joey Daud berkongsi pengalaman bekerjasama dengan pengarah Mamat Khalid dalam filem terbaru lakonannya, Manap Karaoke.

Menurut Joey, kebanyakkan babak dalam filem tersebut dilakonkan secara spontan atas permintaan Mamat Khalid sendiri.

"Antara perkara menarik mengenai Manap Karaoke, filem ini tiada skrip, Mamat hanya menerangkan situasi watak sahaja, selepas itu saya akan ikut kreativiti secara spontan.

"Selepas mendapat penerangan, saya hanya perlu bertanya tentang tempoh masa dalam sesuatu babak itu, boleh dikatakan hampir semua babak saya goreng!" katanya.



Joey berkata demikian ketika ditemu bual secara eksklusif dalam segmen Artis Duduk Diam di ruangan Live, Instagram Astro Gempak semalam.

Tambah Joey, Mamat Khalid juga merupakan seorang pengarah yang suka melihat potensi dan kebolehan pelakon.

"Apa yang boleh saya katakan, saya rasa Mamat merupakan seorang pengarah yang suka melihat tahap minda dan kebolehan seseorang pelakon, banyak ilmu yang saya peroleh dari Mamat sepanjang bekerjasama dengannya dalam filem ini," katanya lagi.



Selain Joey, Manap Karaoke turut menampilkan lakonan hebat dari Ropie, Pekin Ibrahim, Mona Allen, Imuda dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap (watak Joey) yang membuka perniagaan karaoke bergerak.

Pelbagai cabaran akan dihadapi Manap, apa yang pasti, banyak kisah lucu menanti anda sepanjang filem ini.

Jangan lupa untuk mendapatkannya di Astro First, saluran 480 sekarang!