Hanez Suraya Dedah Pernah Alami 'Anxiety'

Kamaruddin Razal
Ogos 8, 2018 20:31 MYT
Pelakon Hanez Suraya mendedahkan dirinya pernah mengalami keresahan dan kebimbangan melampau (anxiety) selepas melahirkan anak pertamanya, Putri Aleesya.
"Selepas bersalin, semuanya baik-baik sahaja. Tiba-tiba, ada satu ketika, saya rasa 'paranoid' untuk melakukan pelbagai aktiviti.
"Bayangkan, ketika nak makan pun saya rasa resah dan takut. Saya takut nak makan ayam, saya takut nak makan daging. Lebih teruk, sebelum makan saya sempat 'Google' kandungan makanan kerana rasa was-was.
"Berat badan saya juga turut turun. Saya juga lebih suka menyendiri dalam bilik dan tidak mahu keluar," kata Hanez.
Hanez ditemui di majlis pelancaran Aurawhite Toothpaste di Meet & Dine, Cheras semalam.
Merungkai resah yang dialami, Hanez berkongsi pengalaman terbabit di ruangan Instagram Stories.
"Selepas saya berkongsi apa yang saya alami di laman Instagram, ramai yang mesej dan mengatakan saya mengalami 'anxiety'.
"Selepas itu, saya mula membuat kajian mengenai 'anxiety' dan saya berhubung dengan Miasa Malaysia (Mental Illness Awareness & Support Association). Rupanya, ramai orang yang mengalami perkara yang sama.
"Alhamdulillah, segalanya semakin baik selepas saya merapatkan diri dengan Miasa. Saya mula memasuki kelas agama seperti kelas mengaji dan bergaul dengan golongan positif.
"Rasa 'anxiety' itu harus dilawan. Saya sendiri kena kuat dan terus melangkah ke hadapan. Saya harus bergaul dengan golongan yang lebih positif," katanya lagi.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Hanez
#pelakon #Hanez Suraya #Pelakon