Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Hang Pernah Rasa Rojak Tonggek?

Hanafis Haris
13/03/2018 03:58 MYT
Jika sebut mengenai syurga makanan, pastinya Pulau Pinang menduduki tempat pertama dengan lambakan jenis makanan yang dijual.

Mungkin ada mengatakan Ipoh atau Melaka turut mempunyai pilihan makanan yang pelbagai. Namun, keistimewaan dan keenakan makanan tempatan yang dijual tidak mampu menandingi Pulau Pinang.

Selain nasi kandar, mi rojak pasembor dan char koey teow, rojak tonggek juga antara menu popular di Pulau Mutiara ini.

Bagaimanapun , mungkin ramai juga tidak mengetahui mengenai kewujudan jenis makanan ini.

Kenapa pula diberi nama rojak tonggek?

WAJIB TONGGEK KETIKA MAKAN


Secara umumnya, gerai berkenaan menjual rojak buah. Apa yang membezakannya dengan rojak buah lain, ianya disusun menggunakan batang lidi seperti digunakan pada sate.

Selain buah, sayur seperti sengkuang juga dijual untuk dicelupkan bersama kuah rojak resipi gerai berkenaan.

Kuah rojak pula diletakkan di dalam bekas berasingan di tepi gerai dan di sinilah bermulanya perkataan tonggek itu.

Terdapat dua jenis kuah iaitu pedas dan juga biasa.

Apa yang anda perlu buat hanya celup lidi buah atau sayur ini di dalam kuah rojak dan makan!

Bagi mengelakkan kuah rojak ini meleleh atau terkena pada baju, apa yang perlu dilakukan adalah tunduk sambil tonggek sedikit.

Disebabkan ramai yang melakukan cara ini, rojak ini digelar sebagai rojak tonggek!

PILIHAN KETIKA BERCUTI


Selain makan di situ, anda juga boleh ‘tapau’ bungkus rojak.

Gerai ini terletak di Jalan Pantai, 12000 Butterworth, Pulau Pinang dan dibuka setiap hari kecuali Rabu bermula 2 petang hingga 7 malam.

Pada anda yang ingin bercuti di Pulau Pinang dan buntu untuk memilih makanan unik, anda boleh cuba rojak tonggek ini.
#Makanan #makanan