Pelakon Hanis Zalikha menafikan terima tawaran menjadi duta kepada produk Innersejuk hanya kerana nilai potensi kontrak USD1 juta atau RM4.2 juta yang ditawarkan.

Sebaliknya, kata Hanis, nilai dirinya sebagai duta yang diletakkan dalam produk itu yang telah membuatnya bersetuju untuk bekerjasama.

“Saya terima bukan sebab nilai kontrak itu sahaja tapi saya berminat kerana nilai yang diletak untuk diri saya pada produk mereka.

“Maksudnya, jika sebelum ini saya hanya menjadi duta yang datang sebagai selebriti sahaja tetapi dengan Innersejuk mereka sendiri mahu saya terlibat dengan menyumbang idea saya sendiri untuk urusan pemasaran dan sebagainya.

“Lagipun saya sendiri memang dah lama pakai dan suka dengan produk ini jadi bila saya promote nanti ia akan jadi lebih telus dan tulus,” katanya kepada Gempak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Innersejuk, Azrul Izzam berkata mereka yakin dengan personaliti Hanis dapat membawa nilai kontrak yang ditawarkan.

“Kami sangat teruja dan mengalu-alukan Hanis Zalikha untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Innersejuk. Personaliti beliau yang sangat berani, mempunyai ciri-ciri istimewa yang tersendiri, sangat sesuai untuk membawa jenama Innersejuk.

“Beliau adalah seorang usahawan wanita berbakat yang berjaya, juga seorang isteri dan ibu. Kami sangat kagum dengan keberanian dan kesungguhan beliau dalam mencapai sesuatu kejayaan,” katanya.

Hanis akan turut serta dalam kempen Innersejuk, menonjolkan koleksi Telekung Suqainah yang terbaru. Dalam kempen tersebut, Hanis Zalika memperagakan Telekung Suqainah Signature dan Telekung Suqainah Luxe, koleksi telekung sejuk berteknologi tinggi yang memberikan keselesaan tetapi tetap kelihatan cantik dan elegan ketika dipakai.