Hans Isaac Akui Hatinya Sudah Dimiliki

Kamaruddin Razal
November 1, 2018 09:05 MYT
Selepas melalui beberapa episod duka dalam perhubungan, pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac mengakui hatinya sudah dimiliki.
Enggan mendedahkan mengenai hubungan percintaan yang terjalin, Hans selesa untuk berdiam diri.
"Saya sudah mempunyai teman wanita. Tetapi, saya selesa untuk merahsiakan perhubungan yang terjalin.
"Saya mengakui saya sedang berkenalan rapat dengan seseorang tetapi saya tak akan memberitahu perkara itu dengan lebih terperinci.
"Namun begitu, apabila semuanya berjalan lancar dan hubungan yang terjalin menuju ke gerbang perkahwinan, saya akan memberitahunya kepada semua," jawab Hans ringkas.
Hans ditemui di majlis pengumuman finalis pencarian Dewi Remaja 2018 / 2019 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, semalam.
Bertindak sebagai juri, Hans mahu berkongsi pengalaman dengan peserta Dewi Remaja mengenai realiti sebenar kehidupan selepas bergelar selebriti.
"Kebanyakan peserta pertandingan ini akan terlibat dengan dunia seni selepas tamatnya program. Saya mahu berkongsi pengalaman mengenai realiti sebenar kehidupan sebagai anak seni.
"Semuanya tidak mudah dan mereka harus mempunyai bakat untuk menyerlah," katanya lagi.
Dewi Remaja 2018 / 2019 bakal bersiaran setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam di saluran Astro Ria (104) & Ria HD (123) bermula 25 November depan.
#pelakon #Hans Isaac #Pelakon #Dewi Remaja