Hans Isaac Masuk Hospital Lagi! Tiba-Tiba Rebah Ketika Latihan Golf

Fiza Kamarudin
Oktober 3, 2017 12:20 MYT
Penerbit dan pelakon popular, Datuk Hans Isaac telah dikejarkan ke Hospital Prince Court, Kuala Lumpur apabila tiba-tiba rebah di padang golf.
Astro Gempak difahamkan, insiden berlaku ketika Hans sedang menjalani latihan untuk kejohanan golf yang akan disertainya tidak lama lagi.
Hans, 46, dilaporkan rebah kira-kira jam 2 petang semalam di Kelab Golf TPC Bukit Kiara.
Menurut pengurusnya Sue Hussin, Hans pada mulanya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) dan telah menjalani beberapa ujian perubatan.
“Doktor yang rawat pun sudah mengesahkan Hans bebas sebarang penyakit serius. Dia kini masih dalam pemerhatian doktor kerana tidak cukup rehat,” katanya kepada New Straits Times.
Bagaimanapun, pagi tadi Hans telah memuat naik sebuah entri di Instagramnya dan memaklumkan keadaannya kini semakin baik.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatannya terutama kepada kakitangan kelab golf serta hospital yang pantas bertindak.
Pada Mac lalu, pelakon Cuci The Musical ini pernah dimasukkan ke Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, menjalani pembedahan pundi hempedu.
Foto: Instagram Hans Isaac
#pelakon #Pelakon #Datuk Hans Isaac