ARTIS KOREA
Hanya Bertahan 3 Tahun, Lee Dong Gun Dan Jo Yoon Hee Bercerai, Hak Penjagaan Anak Diberi Pada Isteri
Pelakon Korea Lee Dong Gun dan Jo Yoon Hee akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai selepas tiga tahun bersama.
Menurut laporan eksklusif portal Dispatch, punca penceraian Dong Gun dan Yoon Hee adalah disebabkan tidak sehaluan.
Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama dari kedua-dua belah pihak.

Lapor Dispatch lagi, sumber menyatakan hak penjagaan anak mereka akan diberikan kepada Yoon Hee.
“Sewaktu proses perundingan, hak penjagaan anak adalah perkara yang paling penting dan Yoon Hee akan membesarkan anak perempuan mereka,” ujar sumber.
Berita penceraian mereka juga telah disahkan oleh agensi Dong Gun, FNC Entertainment dan Yoon Hee, King Kong by Starship hari ini.

Terdahulu, pasangan ini telah mendaftarkan perkahwinan mereka tiga tahun lalu iaitu pada Mei 2017 dan mengadakan majlis resepsi secara tertutup pada September tahun yang sama.
Hasil perkahwinan itu, Dong Gun dan Yoon Hee dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada Disember 2017.
Untuk pengetahuan Dispatch merupakan portal eksklusif terkenal Korea yang sering membongkar banyak rahsia selebriti di negara berkenaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU
Sumber: Dispatch