Misteri kehilangan seorang ibu tunggal, Mila Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella, 32, yang hilang sejak 14 Disember lalu terungkai apabila penemuan rangka di sebuah rumah terbengkalai itu adalah sah miliknya.

Susulan daripada penemuan mayat Bella ini, menerusi satu hantaran di Facebook oleh pemilik akaun bernama Mia Icha yang merupakan kakaknya, memaparkan rasa ketidakpuasan hatinya kerana dia menyifatkan kes adiknya ini tidak cukup dititkberatkan oleh IO (pegawai penyiasat).



Katanya, dia tidak diendahkan oleh IO apabila cuba untuk menyakinkan kepada mereka bahawa kes tersebut mempunyai elemen jenayah.

“Saya pergi naik IPK (Ibu Pejabat Kontijen) untuk bagitahu benda ni ada unsur jenayah dan nyawa adik saya jadi taruhan.

“Tapi IO tak nak jumpa saya, atas alasan siasatan OH (Orang Hilang) sedang dijalankan, walhal saya sudah tukar kes ini kepada jenayah,” tulisnya pada hantaran tersebut.

Dalam pada itu, kakaknya turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang membebaskan salah seorang suspek yang dipercayai teman lelaki Bella walaupun kakaknya itu yakin teman lelaki Bella itu terlibat dengan kes ini.

“Boyfriend dia (Bella) direman tapi dilepaskan atas alasan 3 serangkai, 3 serangkai ini diberi keistimewaan ke?

“Masa dia buat Bella mana penyakit dia? Kenapa polis lebih yakin dia ada 3 serangkai dari yakin dengan bukti yang saya bagitahu.

“Saya mahukan keadilan untuk Bella,” tegas kakaknya.

Lebih memilukan lagi, kakaknya turut menzahirkan rasa kecewanya kerana mayat adiknya itu kini hanya ditemui dalam bentuk rangka.

“Sekarang selepas 38 hari, apa yang saya dan keluarga dapat? Kami cuma dapat rangka.

“Kenapa masa reman tidak siasat habis-habis. Kalau tahu awal di mana Bella di sorokkan, mesti keluarga dapat body bukan rangka.

“Walaupun body sudah tidak bernyawa tapi masih boleh kami peluk cium utk kali terakhir,” tambahnya lagi.

Berita Trending: Netizen Seriau Tengok Pelajar Sekolah Rendah Zaman Sekarang ‘Crush’ Dekat Cikgu… Siap Confess! – “Saya…

Kakaknya turut memohon bantuan netizen untuk membangkitkan kes ini bagi menuntut keadilan bagi adiknya.

Sebelum ini, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta lelaki yang dipercayai teman lelakinya, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Difahamkan tiga suspek berkaitan kes Bella, termasuk individu yang dikatakan teman lelakinya telah ditahan, bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis apabila tempoh tahanan remannya berakhir.

Kelibat wanita tersebut dikatakan terus hilang sejak daripada tarikh itu dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp menunjukkan satu tanda sahaja.