Hiburan
"Hanya Kita Sekeluarga Yang Tau ..." - Ali Puteh Pilih Untuk Memaafkan Netizen
Pelawak Ali Puteh, 31, memilih untuk menghiraukan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh netizen kepadanya.
Menurut Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan hanya mereka sekeluarga yang tahu apa yang terjadi sebenarnya.
"Hari ini 10 haribulan. Genap 9 bulan pemergianmu abang. Kubur masih dilawati orang dan sentiasa bersih.
"Biar apa orang kata orang hina pekakkan telinga kerana apa pun terjadi kita tetap adik beradik.
"Mereka tidak tau apa-apa perihal kita. Hanya kita sekeluarga yang tau. Maafkan jela mereka-mereka semua yang hina kita," tulisnya di Instagram (IG).
Perkongsian itu turut disertakan sekali foto arwah Abam memeluk ibunya, Sabariah Arshad.
Dalam pada itu, ahli kumpulan lawak Puteh itu mendedahkan kedatangan arwah di dalam mimpinya pada Isnin lalu.
"Malam tadi mimpi kau datang bang jenguk kami. Senyum je kau. Semoga tenang di sana ye bang.
"Mak sihat alhamdulillah dan semua sihat. Semoga kau ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Tengokkan Ainul Mardhiah ya kat sana," tulisnya lagi.
Terdahulu, pelawak popular Abam yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia di kediamannya di Gombak pada awal pagi 10 Februari.
Abam meninggalkan seorang balu, Siti Norhidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
Must-Watch Video