Cuba Bertutur Dalam Bahasa Melayu, Telatah Lucu Kumpulan CNBLUE Berjaya Cuit Hati Peminat
Penantian buat peminat kumpulan CNBLUE kini berakhir apabila mereka melakukan konsert jelajah CNBLUE Live In Asia – Voyage Into X in Malaysia di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Apa yang menjadi perhatian apabila kesemua ahli kumpulan CNBLUE cuba untuk bertutur dalam Bahasa Melayu bersama peminat membuatkan penonton yang hadir terhibur dengan telatah comel mereka.
Vokalis utama kumpulan itu, Jung Yonghwa cuba untuk bercakap dalam Bahasa Melayu tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu menyebut perkataan ‘atau’ berulang kali.
“Dia atau?”, kata vokalis kumpulan CNBLUE.
Pada masa sama, peminat cuba untuk membantu menyebut perkataan tersebut namun malangnya, Yonghwa akhirnya berputus asa.
Namun, dia berjanji untuk mempelajari lebih banyak perkataan dalam bahasa Melayu jika mereka mengadakan konsert di Malaysia sekali lagi.
“Lain kali apabila kami kembali ke Malaysia, kami akan mempraktikkannya lagi,” ucap pemain bass CNBLUE, Lee Jungshin.
Selain itu, pemain drammer Kang Minhyuk juga terharu serta menitiskan air mata selepas menonton video penghargaan dari peminat mereka yang sentiasa setia menyokong perjalanan mereka dalam industri muzik K-Pop.
Sekadar info, Konsert CNBLUE Live In Asia – Voyage Into X Malaysia ini dianjurkan dengan kerjasama antara Absolute Technical Production dan Sparkling Star.
Untuk maklumat, kumpulan CNBLUE ini dianggotai oleh vokalis utama dan gitaris, Jung Yonghwa, pemain dram, Kang Minhyuk, serta pemain bass, Lee Jungshin.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu berjaya meninggalkan pengalaman yang indah buat peminat mereka. Dengan melantunkan sebanyak 25 buah lagu, peminat mereka yang dikenali sebagai Boice pulang dengan penuh kegembiraan.