Hiburan
Hanya Untuk Nama & Konten YouTube, Kisah Gadis Jawab Peperiksaan Atas Pokok Disahkan Palsu
Dakwaan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin bahawa dia terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian adalah tidak benar.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, hasil siasatan mendapati Veveonah yang juga seorang Youtuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.
“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.
“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu.
“Jadi, kita minta Yang Berhormat di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.
Jun lalu, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, tular berkongsi video kisah perit di kawasan kampungnya sehingga mengundang pihak TM untuk menawarkan internet sehingga 300Mbps.
Penuntut UMS itu juga pernah dilaporkan menerima sumbangan Yayasan Nur Jauhar di Kota Kinabalu, Sabah setelah kisahnya tular dan menjadi bahan bualan ramai.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video