Hiburan
“Harap Bersabar Ya, Video Fizi Mohon Maaf Sedang Dalam Pembikinan” – Pengarah Urusan Les’ Copaque
Pengarah Urusan Les’ Copaque Burhanuddin Md Radzi memberitahu video permohonan maaf Fizi sedang dalam proses pembikinan.
Burhanuddin berkata, platform untuk penyiaran permohonan maaf tersebut tertakluk kepada stesen penyiaran MNCTV, Indonesia.
"Fizi sendiri yang akan memohon maaf kerana dia mencetus kemarahan peminat siri animasi Upin & Ipin.
“Semoga selepas ini netizen akan kembali tenang dan cooldown,” katanya.
Sebelum ini penonton siri animasi popular itu menggesa penerbit Upin & Ipin membuat permohonan maaf kerana kontroversi dicetuskan Fizi dalam episod berjudul Syahdunya Syawal yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia.
Dialog Fizi yang menjawab persoalan Upin dan Ipin mengenai syurga sekiranya ibu sudah meninggal dunia turut mencetuskan perbalahan di laman sosial.
Tambah Burhanuddin babak tersebut diwujudkan untuk menjawab persoalan sesetengah masyarakat mengenai di mana syurga buat anak yatim.
“Niat Les’ Copaque hanya untuk memberi ruang kepada masyarakat mengupas mengenai isu tersebut dan setakat ini ada beberapa pihak memberi kupasan yang baik tentangnya.
“Ini bermakna reaksi terhadap dialog Fizi itu membuktikan siri animasi Upin & Ipin dekat di hati peminat termasuk di Indonesia.
"Sekalipun karakter animasi ciptaan manusia, apa yang dipersembahkan seolah-olah mereka wujud di alam realiti,” katanya.
Must-Watch Video