Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar komited untuk menunaikan janjinya bagi membawa kumpulan rock, Radiohead ke negara ini.

Baca: "A Promise Is A Promise" - Nurul Izzah Bawa Radiohead Ke Malaysia?

Izzah berkata beliau kini dalam proses akhir untuk menyerahkan surat terbuka kepada kumpulan rock Inggeris tersebut.

"Saya akan buat surat terbuka dan kini dalam proses terakhir untuk memberi pendedahan kepada mereka betapa pentingnya prihatin dan sensitif dengan isu dengan perjuangan rakyat Palestin.

"Kedua (berharap) mereka bersetuju dengan cadangan saya untuk mengadakan konsert atas nama konsert amal," katanya kepada pemberita selepas memberi pembentangan padahari terakhir Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Kelima (WCIT) 2018 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah, di Ipoh.

Pemimpin kanan PKR itu menyatakan komitmen untuk membawa kumpulan rock berkenaan ke negara ini menerusi akaun Twitternya pada Mei lalu.

“Indeed. A promise is a promise #PostRamadanDiscussion. Now get on to work! (Semestinya. Janji tetap janji#Perbincangan Selepas Ramadan. Kini perlu bekerja)," katanya.

Ditubuhkan pada 1985, kumpulan Radiohead terkenal dengan lagu-lagu seperti Creep, No Surprises, Karma Police, Exit Music, High and Dry dan My Iron Lung.

Sumber: Bernama