Harapan penonton ‘dileburkan’ lagi apabila tayangan filem live-action penantian ramai, Mulan ditangguhkan sekali lagi.

Pengumuman itu dimaklumkan oleh Walt Disney dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini.

Penayangan Mulan pada mulanya dijadualkan pada Mac lalu namun ditangguhkan kepada tarikh iaitu 24 Julai akibat wabak COVID-19.

Bagaimanapun, tayangan Mulan terpaksa ditangguhkan buat kali kedua iaitu pada 21 Ogos depan.


“Walaupun situasi wabak pandemik telah memaksa tayangan Mulan ditangguhkan namun perkara itu tidak mengubah persepsi kami terhadap filem tersebut.

“Kami percaya tarikan Mulan tidak akan terjejas kerana kekuatan filem ini selain mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Pengarah dan juga pelakon-pelakon terlibat telah melakukan tugasan baik dengan mencipta sebuah filem yang sangat cantik dan hebat,” ujar pengerusi bersama Walt Disney Studios, Alan Horn dan Alan Bergman.

Terdahulu, Mulan yang dibintangi oleh Liu Yifei itu merupakan remake versi animasi klasik Disney. Filem itu juga membabitkan kos pembikinan sebanyak RM858 juta.

Sumber: Variety.com