Penyampai radio Era FM Radin menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31 dalam suasana pilu setelah pemergian ibu tercinta, Feridah Hashim.

Menerusi laman sosial Instagram, Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy memuat naik beberapa keping video kejutan sambutan hari lahir yang dianjurkan oleh sahabatnya.

Bagi Radin, tahun ini merupakan sambutan hari lahir paling sedih sepanjang hidupnya kerana tidak mendapat ucapan dan meraikan bersama arwah ibu seperti tahun-tahun terdahulu.

“Jujur hati ini, sebagai seorang anak memang susah untuk menerima kenyataan dengan apa yang berlaku namun ketentuan ini adalah aturan terbaik dari Nya untuk arwah.

A post shared by RAA (@radin_era)


“Dan harini 15 Mac, hari lahir saya yang ke-31 dan adalah hari lahir paling sedih sepanjang hidup saya bila tak dapat wish dan celebrate dengan mama seperti tahun-tahun terdahulu.

“Alhamdulillah walaupun jauh dengan family, Allah berikan saya rezeki yang cukup bermakna bila dapat ‘support system’ yang kuat dan sahabat-sahabat yang boleh dianggap sebagai family,” tulis Radin di ruangan kapsyen.

Tambah anak kelahiran Ipoh Perak itu lagi, dia berterima kasih di atas segala kejutan sambutan dan doa yang diterima pada hari lahirnya tahun ini.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan wargamaya menitipkan doa dan ucapan buat Radin agar dirinya sentiasa kuat.

Happy born day Radin. Semoga yang baik-baik sahaja buat kamu,” ujar pelawak Zizan Razak.

Happy birthday Din, semoga senang segala urusan,” komen penyanyi Akim.

Alfatihah buat arwah mama. Moga arwah tenang dan damai di sana. Selamat ulang tahun yang ke-31. Moga seluruh hidupmu dalam keberkatan dan dilindungi daripada sebarang musibah,” doa pelakon Erra Fazira.

Happy birthday Radin. Moga sentiasa berada di bawah redup rahmatNya,” ujar pelawak Jep Sepahtu.

Happy birthday brother, semoga mama awak ditempatkan dengan orang-orang yang beriman,” tulis pelakon Hairul Azreen.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 25,000 tanda suka daripada wargamaya.

Pada 18 Februari lalu, arwah ibu, Feridah Hasim telah menghembuskan nafas terakhir pukul 9.25 pagi di kediamannya di Ipoh.