Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Harris Annuar Sah Positif Jangkitan Covid-19

ZULHILMI JALIL
04/01/2021 01:17 MYT
Pelakon Harris Annuar memaklumkan bahawa dirinya disahkan positif jangkitan Covid-19 selepas menjalani satu ujian saringan semalam.

Berita tersebut dikongsikan bekas finalis Hero Remaja 2017 itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya awal pagi tadi.

"Assalamualaikum, semalam pada 3/1/2021 Harris baru sahaja menjalani ujian saringan Covid bersama pasukan Megaklinik Zahran dan ternyata Harris positif Covid untuk saringan yang pertama.

"Hari ini pada 4/1/2021 Harris akan ke Megaklinik Zahran kembali untuk buat saringan kedua, untuk buat masa sekarang ini, Harris sedang kuarantin kendiri di rumah seperti yang disarankan oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya.

Pada masa sama, pelakon drama TQ Captain itu turut menasihati mana-mana individu yang bertemu dengannya untuk menjalani ujian saringan Covid-19 secepat mungkin.

"Jadi, sesiapa yang kontak rapat dengan harris selama dua minggu yang terakhir boleh pergi untuk menjalani ujian Covid-19 di klinik yang berdekatan.

"Setakat ini Harris masih menunggu panggilan rasmi daripada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya. Maaf atas segala kesulitan," katanya.

A post shared by BANGKITBOTAK (@harrisannuar)


Di ruangan komen, rata-rata mendoakan agar Harris diberikan kesembuhan.

"Moga segalanya dipermudahkan, Insya-Allah," komen pelakon Fendy Bakry.

"Syafakallah bro," komen penyanyi Alif Satar.

#pelakon #Virus #Harris Annuar #Hero Remaja #COVID-19
;