Aktor popular, Zul Ariffin mencuba watak lelaki kuat agama buat pertama kali menerusi lakonannya dalam telefilem Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof.

Menurut Zul, dia lebih selesa untuk tidak membawa watak sebegitu sebelum ini, namun merasakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk melakukannya.

"Ini merupakan pertama kali saya bawa watak seorang lelaki yang kuat agama, saya tidak pernah lakukannya sebelum ini.

"Bukanlah saya tak nak buat sebelum ini cuma saya lebih selesa untuk tidak melakukannya, tetapi sekarang saya rasa ia merupakan masa yang sesuai untuk saya bawa watak sebegini," katanya.

Zul berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran Penunggang Agama di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambah Zul, salah satu sebab dia menerima tawaran berlakon telefilem tersebut adalah kerana dia mempercayai hasil kerja Syafiq Yusof sebagai pengarah.

"Saya pernah bekerja dengan Syafiq dan mempercayai hasil kerjanya, lagipun, ramai orang yang saya sudah biasa terlibat dalam penghasilan telefilem ini.

"Syafiq tahu untuk seimbangkan pelbagai aspek dalam kerjanya, jadi, sudah tentu saya akan berkata 'ya' untuk Syafiq," katanya lagi.

Dalam Penunggang Agama, Zul memegang watak sebagai seorang suami yang kuat agama dan berhadapan cabaran getir apabila ahli keluarganya mengalami gangguan makhlus halus.

Telefilem ini turut dibintangi oleh Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan dan Johan Asari dan dijangka menemui penonton menerusi Astro First pada tahun hadapan.

Kredit Foto : Instagram Zul Ariffin