Haters Sebenarnya Peminat Yang Keliru - Fasha Sandha

Amri Hassan
Ogos 2, 2017 06:00 MYT
Selepas memuat naik video parody lagu I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida (DSV) beberapa hari lalu, pelakon Fasha Sandha sekali lagi dihujani dengan perbalahan netizen dalam ruangan komen Instagramnya.
Video yang memaparkan aksinya bersama kedua-dua cahaya matanya menari sambil diiringi lagu yang sedang tular itu mendapat pelbagai reaksi netizen termasuklah komen-komen negatif.
Malah, sebelum ini pun pelakon drama bersiri Lara Aishah itu sering 'diserang' dengan pelbagai perkataan kasar setiap kali mengemaskini status di laman sosialnya.
Bagi Fasha, dia tidak pernah berasa terganggu dengan komen-komen yang ditulis netizen di laman sosialnya kerana menganggap platform itu ruang peribadi untuk berkongsi pelbagai perkara.
"Instagram saya, terpulang pada saya untuk menulis apa sahaja yang saya rasa dan kalau ada yang tidak suka boleh unfollow!
"Bagi saya tidak menjadi kesalahan untuk meluahkan perasaan di laman sosial sendiri, bukan hanya untuk menunjukkan perkara yang baik-baik sahaja sebab saya pun manusia biasa," katanya.
Fasha bagaimanapu mengelak untuk membaca komen-komen negatif kerana menganggap haters merupakan golongan peminatnya yang keliru.
"Biasanya keluarga atau individu terdekat yang akan memaklumkan sekiranya ada komen keterlaluan di Instagram saya. Barulah ketika itu saya terpaksa bertindak.
"Kalau dulu pernah ada akaun Facebook We Hate Fasha Sandha tapi sekarang kemanakah akaun itu?
"Bagi saya haters yang banyak menulis mengenai kita sebenarnya peminat, cuma mereka keliru," tambahnya.
Fasha kini sedang dalam proses penggambaran drama bersiri 70 episod, Syurga Kedua bersama Siti Elizad dan Zarul Umbrella.
Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Pinography
#pelakon #Fasha Sandha #Pelakon