Selepas tiga bulan penganjuran Konsert Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 11 Jun lalu, kumpulan Search bakal muncul dalam Live in Concert - Rockin' Arena 2022 di Pulau Pinang dan Johor Bahru pula.

Konsert itu akan diadakan di Penang Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang (PP) pada 24 Disember depan dan pusat beli-belah AEON Mall, Bandar Dato Onn, Johor Bahru (JB) pada 28 Januari tahun depan.

Gitaris Search, Noordin berkata, selepas berakhir Konsert Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, mereka dihujani banyak pertanyaan mengenai program Search selepas itu.

Malah, Search bukan saja menerima tawaran mengadakan konsert di dalam negara, tetapi juga di luar negara.

“Namun, kami mengambil sikap sangat berhati-hati dalam memilih untuk bersetuju. Perkara paling penting ialah Konsert Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell itu kami jadikan sebagai penanda aras untuk konsert seterusnya baik dari segi tempat, tarikh dan masa.

“Selain itu, spesifikasi peralatan muzik dan sistem bunyi juga mesti mempunyai kualiti yang sama atau lebh baik lagi. Pihak kami amat menitikberatkan piawaian ini selaras dengan nama besar Search yang cukup berpengaruh selama empat dekad dalam genre rock tanah air.

“Ini bermaksud apabila peminat menonton persembahan Search, mereka akan menikmati 'standard' Search itu sendiri dari segi kualiti bunyi dan penataan cahaya dikendalikan jurutera Search yang cukup berpengalaman,” katanya.

Noordin dan Search ditemui pada Sidang Media Search: Live in Concert - Rockin' Arena 2022 yang diadakan di Hotel Campbell, semalam.

Selain dua lokasi di Pulau Pinang dan Johor Bahru yang sudah ditetapkan, Search juga bakal mengadakan konsert di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, namun ia masih dalam perbincangan dan pemilihan tarikh yang sesuai.

“Kami merancang untuk ke sana (Kuching dan Kota Kinabalu) hujung tahun ini, tetapi ia terpaksa ditunda berikutan situasi musim tengkujuh ketika ini. Ini kerana kami mahu membuat konsert di kawasan terbuka, jika buat di lokasi berbumbung tidak ada lokasi yang sesuai pula. Insya-Allah, mungkin kami akan ke sana tahun depan,” katanya.

Selain Noordin, Search turut dianggotai oleh Denden Gonjalez (penyanyi), Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) serta pemain keyboard undangan, Firdaus.

Harga tiket untuk dua konsert ini ialah RM268 dan RM148 yang dijangka mula dijual minggu depan.
Untuk pembelian dalam talian boleh ke www.fenomenasearch.com dan untuk pembelian secara fizikal boleh berkunjung ke kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Search juga dijangka memainkan 20 hingga 22 lagu dalam konsert ini nanti. Dalam masa sama, mereka juga akan meningkatkan kualiti sistem bunyi, permainan muzik dan persembahan supaya lebih baik berbanding sebelum ini.

Dalam masa sama, Search juga ada mengadakan perbincangan dengan penganjur konsert di Indonesia.
Jika semuanya berjalan lancar, Search dijangka menganjurkan konsert mereka di Bandung pada penghujung Februari tahun depan.

Menurut Noordin, dia bersama anggota Search mula menjalani latihan minggu ini selepas penyanyi, Denden kembali ke sini dari Indonesia, Isnin lalu.