Pantang menyerah kalah! itu gambaran tepat boleh diberikan kepada pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mara ke suku akhir acara keirin selepas menduduki tempat kedua saingan repecharge di Velodrom Izu di Tokyo 2020, hari ini.

Biarpun berdepan insiden malang apabila terjatuh ketika saringan kedua, namun ia sedikit pun tidak menghalang Shah Firdaus untuk kembali bangkit.

Atlet kelahiran Muar, Johor yang sempat dinasihatkan untuk tidak kembali berlumba oleh pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN) dalam peringkat reperchage bagaimanapun nekad untuk meneruskan persaingan setelah dia dan seorang lagi pelumba yang terbabit dalam kemalangan itu tidak bersaing pada saringan kedua yang diulang semula.

Dengan semangat yang disifatkan oleh netizen sebagai 'Hati Kental', Shah Firdaus yang beraksi pada pusingan repecharge terakhir perlumbaan di tempat kedua di belakang Browne Kwesi dari Trinidad and Tobago.

Namun saat ini, khabar yang agak dukacita disampaikan kepada rakyat Malaysia apabila Shah Firdaus dilaporkan telah dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo, Shizouka.

Shah Firdaus disyaki mengalami patah tulang rusuk.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui keadaan sebenar pelumba negara itu.

Dalam pada itu, The Pocket Rocketman Datuk Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir acara keirin selepas muncul juara saringan ketiga.

Kejayaan itu sekali gus berjaya membuka peluang dan harapan beliau dan rakyat Malaysia untuk merangkul pingat emas negara pertama di Olimpik Tokyo.

Sekadar info, Azizulhasni yang merangkul pingat gangsa dalam acara keirin pada Olimpik Rio 2016 tiba di garis penamat di hadapan Paul manakala Patryk Rajkowski dari Poland di tempat ketiga.