Hawa Rizwana ‘Sapu’ Pelbagai Tawaran Dalam Bidang Seni - “Kalau Orang Kata Sebagai Tamak, Bagi Saya Itu Adalah…”
Asyikin Mayudin
17/03/2024 11:55 MYT
17/03/2024 11:55 MYT
Mahu sentiasa mencuba sesuatu yang baru, pengacara dan pelakon, Hawa Rizwana menafikan dirinya tamak kerana menerima pelbagai tawaran daripada cabang seni berbeza.
BERITA TRENDING: Watak Dalam The Cadets Tarik Perhatian, Netizen Usik - “Hawa Tu Kenit Kenit, Tapi Samseng Kemain Ek”
Hawa atau pemilik nama penuh, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 28, menjelaskan, dia ingin keluar dari zon selesa dan tidak hanya melakukan sesuatu yang sering dijayakan olehnya.
“Sebenarnya itu apa yang orang nampaklah kan? Segala rezeki saya terima yang ditawarkan asalkan halal dan sesuai dengan diri saya.
“Jadi kalau orang kata sebagai tamak dan sebagainya, bagi saya itu adalah sifat saya sendiri iaitu untuk belajar serta mencuba sesuatu yang baru. Kalau ada rezeki, saya ingin keluar dari zon selesa dan meneroka pelbagai cabang seni yang baru.
“Jika ada yang tak sesuai namun saya terima juga, boleh menjadi pengajaran untuk masa akan datang. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang boleh diperbaiki,” kata Hawa.
Hawa ditemui ketika majlis sidang media Ramadan Astro yang diadakan di M Resort & Hotel, Petaling Jaya baru-baru ini.
Hawa yang juga mengintai peluang dalam bidang penyampaian radio menjelaskan proses berkenaan turut mengajarnya kekuatan dan kelemahan diri.
“Bagi saya, semua ini adalah satu perjalanan kerjaya untuk mengajar saya menjadi lebih baik dalam apa jua bidang. Saya juga boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan diri.
“Tak kisah sama ada mengacara, berlakon, penyampai radio atau menyanyi. Jadi saya tahu mana yang harus diberikan keutamaan pada masa akan datang,” kata Hawa.