Penyanyi Hazama mendedahkan pada asalnya komposer Tam Spider ingin menyanyikan sendiri lagu Peneman.

Walaubagaimanapun, selepas mendengar lagu itu, Hazama tertarik dan mengambil masa selama setahun bagi menyakinkan Tam untuk memberikan lagu terbabit kepadanya.

"Pada mulanya, Tam berhasrat mahu menyanyikan sendiri lagu Peneman. Namun, selepas mendengarnya saya terus tertarik.

"Saya berhadapan situasi sukar untuk memujuk Tam dalam menyakinkannya untuk memberikan lagu itu kepada saya.

"Saya pujuk adalah dalam lebih setahun sebelum dia bersetuju untuk memberikan lagu tersebut kepada saya," katanya kepada Gempak.

Tambah Hazama, lagu Peneman turut didedikasikan kepada pemain bass, Wan Kelly Abdul Rahman yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 4 Mei lalu.

"Kelly antara pemuzik yang selalu mengiringi persembahan saya, Hazama & The Penglipur Lara.

"Saya cukup terasa dengan kehilangan dia yang cukup berjasa dalam perjalanan muzik saya," katanya lagi.

Mulai bulan Ogos, Hazama akan mula menjalani penggambaran filem Coast Guard yang akan dijalankan di sekitar Langkawi, Perlis dan Kuantan.

Selain Hazama, filem yang diarahkan oleh pengarah tersohor tempatan, Hashim Rejab turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Saharul Ridzwan, Julia Farhana, Emma Maembong, Sabri Yunus, Aziz M Osman, Black dan ramai lagi.