Hiburan
Hazama, Black, Tomok & Akim Bergabung Dalam Konsert 4G'S
Empat penyanyi popular tanah air iaitu Hazama, Black, Tomok dan Akim bakal bergabung dalam sebuah konsert yang diberi nama 4G's.
Konsert tersebut akan diadakan di Istana Budaya pada 17 dan 18 April 2020.
Menurut Hazama, konsert itu akan menampilkan lagu-lagu hit yang popular dari era 70-an hingga terkini.
"Dalam konsert ini, kami berempat akan menyanyikan lagu-lagu yang popular sekitar era 70-an hinggalah zaman sekarang, kami juga akan menyanyikan lagu sendiri cuma tidak banyak kerana fokus kami adalah untuk menyanyikan lagu penyanyi lain.
"Kami berempat akan memilih lagu-lagu yang bermakna buat diri kami sejak zaman belum bergelar penyanyi, hasil gabungan itulah yang akan dipersembahkan nanti," jelas Hazama.
Hazama berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert 4G's bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Tambah Hazama, perkataan 4G's yang digunakan sebagai nama konsert tersebut membawa maksud 'gang' dan 'gabungan'.
"Perkataan 4G's itu membawa maksud 'gang' dan 'gabungan' yang menunjukkan penyatuan kami berempat melakukan persembahan dalam satu konsert.
"Di kesempatan ini saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Black kerana pada mulanya, dia lah yang yang mencadangkan kami berempat untuk mengadakan konsert," tambah Hazama.
Harga tiket Konsert 4G's ini mula dijual pada harga RM98, RM248, RM348, RM428, dan RM518 menerusi www.airasiaredtix.com.
Penganjur turut menyediakan tempat duduk istimewa berharga RM988 setiap satu, namun ia terhad kepada 16 kerusi sahaja.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert tersebut, sila hubungi 018-2488184.
Must-Watch Video