Pernah didiagnos menghidap kanser darah sekitar lima tahun lalu, penyanyi Zul Ariff akui sukar untuk menerima hakikat.

Bagaimanapun, semangat Zul tak pernah luntur. Pada awal tahun lalu, Zul disahkan bebas kanser namun masih memerlukan rawatan susulan dan bergantung pada ubat-ubatan.

"Saya didiagnos menghidap kanser darah pada 2015, hampir lima tahun baru saya pulih sepenuhnya tapi masih memerlukan saya makan ubat dan supplement dan rawatan setiap enam bulan sekali.

"Saya belum perlu radioterapi atau kemoterapi tapi masih perlu bergantung pada ubat. Agak struggle apabila kena kanser sebab saya simpan rahsia saya menghidap kanser daripada keluarga sehingga tahun 2018.

"Kalau boleh saya tak nak orang simpati dengan saya, tak suka orang tengok saya sakit," ujarnya kepada Gempak.

Berbekalkan kisah dan pengalamannya itu, Zul tampil dengan single ketiga bersama rakan duo, Kamal Hamidi berjudul Cinta Semalam.

Abang meninggal dunia

Bercerita lebih lanjut, kata Zul, proses rakaman lagu itu juga mengambil masa yang panjang apabila abangnya yang telah menghembuskan nafas terakhir turut disahkan menghidap kanser.

"Lagu ini amat memberikan kesan, sepanjang proses merakamkan lagu ia mengambil masa lama kerana ketika itu abang saya juga menghidap kanser.

"Ketika PKP saya bersama ayah saya di Melaka, manakala arwah abang dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Dia maklumkan kepada kami sekeluarga pun sebelum dua minggu arwah meninggal dunia.

"Kami sekeluarga hanya sempat berjumpa dengan arwah pada saat-saat terakhir," ujarnya sebak.

Kanser hidung

Kisah sama turut dikongsikan Kamal yang pernah menjaga arwah ibunya yang menghidap kanser hidung sekitar 10 tahun lalu.

"Ibu saya meninggal dunia pada 2011 akibat kanser hidung selepas menderita selama dua tahun. Ketika itu saya masih belajar dan perlu berulang-alik dari Selangor ke Kedah setiap minggu untuk menjaga arwah.

"Saya tak tahu macam mana perasaan penghidap kanser tapi dikelilingi oleh individu yang menghidap kanser jadi saya tahu macam mana perasaan itu," katanya yang bergabung dengan Zul untuk menyampaikan cerita dan perasaan menerusi lagu Cinta Semalam.



Keserasian

Tidak sukar untuk mencari keserasian sebagai pasangan duo, Zul dan Kamal punyai kelebihan tersendiri daripada segi vokal.

Dalam perkembangan terbaharu, Zul dan Kamal yang turut menggunakan nama pentas Zakh tampil dengan lagu raya berjudul Sama Sama Raya.

Sama Sama Raya dicipta oleh Shazee Ishak dan Audi Mok dan muzik video lagu ini telah dilancarkan di platform YouTube Indigital Music.