Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri memohon maaf sekiranya tarian gelek punggung bersama penyanyi, Ifa Raziah mengundang rasa kurang senang netizen.

Menurut Aliff, mereka berdua hanya bergurau dan tarian itu juga hanyalah sekadar hiburan sahaja.

“Manusia ini tidak lari daripada buat kesalahan. Saya minta maaf sekiranya tarian itu menyebabkan anda marah.

“Hidup ini dik perlukan lawak, perlukan manja… Jadi saya hanya bergurau, bukan ada adegan ramas meramas punggung atau pegang memegang. Jadi fikir positif sahajalah,” katanya.

Aliff ditemui Gempak pada Majlis Kesyukuran dan Aqiqah serta Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Damansara pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai tarian berkenaan, Aliff berkata perkara itu bergantung kepada tafsiran pemikiran masing-masing.

“Sebenarnya waktu itu kami sedang membuat video TikTok dan tariannya pula hanyalah goyang dan pusing sahaja.

“Kalau anda fikir negatif maka negatiflah jadinya. Contoh tarian tangan yang pusing-pusing tu (merujuk kepada lagu Flower oleh Jisoo Blackpink), kalau terfikir pusing lain jadi lain lah maksudnya.

“Kalau berfikiran negatif, segalanya pun akan kelihatan tidak baik. Kalau fikir positif maka positif jadinya,” ulasnya.

Terdahulu, video yang dimuat naik Ifa menerusi Instagram dan TikTok miliknya merakamkan dirinya bersama Aliff sedang bergelek sakan sambil menggoyangkan pinggul.

Aksi itu telah menerima kecaman netizen dan rata-ratanya meluahkan rasa kesal dengan perangai mereka yang dilabel sebagai tidak sedar diri.