Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hina Isteri Khabib 'Seperti Tuala", McGregor Dikecam & Dilabel Rasis

Kamaruddin Razal
05/04/2019 11:25 MYT
Perbalahan Twitter yang berlaku di antara dua jaguh seni bela diri campuran (MMA) UFC sudah sampai ke tahap 'tidak boleh diterima', lapor Astro Awani.

Demikian kenyataan Presiden UFC, Dana White yang turut menggesa agar kedua-dua pihak menarik balik kenyataan mereka.

“Saya menyedari pertelingkahan di media sosial di antara Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor.

“Situasi berterusan ini sudah sampai ke tahap yang tidak boleh diterima. Justeru, kami mengambil langkah perlu untuk mendekati kedua-dua kem atlet dan situasi ini akan ditangani oleh semua pihak secara dalaman.”

McGregor, 30 tahun, sebelum ini dilihat mengecam Khabib melalui Twitternya dengan mengatakan "Isteri anda adalah seorang tuala".

Tweet tersebut disertakan dengan gambar Khabib, 30, dan isterinya ketika majlis perkahwinan mereka.

Selain Khabib yang berang dengan kenyataan itu, ia turut mendapat kecaman hebat oleh netizen di serata dunia yang menyifatkan ia sebagai hinaan terhadap Islam dan berbaur perkauman.

Tweet berkenaan kemudiannya dipadam McGregor.

Selain Khabib, Pengurusnya, Ali Abdelaziz turut ‘menyerang balas’ Conor McGregor dalam Tweet terbaharunya.

Ali yang terkenal dengan kelantangannya berkata "Lelaki ini menghina isteri seseorang dan mempermainkan agama dan kepercayaannya. Dia tidak sedar yang dia mengecam 1.5 bilion umat Islam.

“Jangan sentuh hal agama dan keluarga. Kamu keterlaluan Conor, kita lihat apa media akan katakan sekarang,” katanya.

Khabib juga sebelum itu menyifatkan, keputusan McGregor untuk bersara sebagai petarung MMA adalah seperti seorang isteri cemburu yang selalu berkata "saya akan tinggalkan kamu", tetapi akhirnya kembali ke pangkuan suami.

Kali terakhir Khabib dan McGregor bertarung ialah pada Oktober tahun lalu, di mana petinju Ireland itu tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.

Sumber: Astro Awani
#Berita
;