Pelakon Hisyam Hamid teruja apabila dapat melepaskan rindu terhadap kerjayanya sebelum ini sebagai anggota bomba dalam filem Hero.

Kata Hisyam, pengalaman sebagai anggota bomba telah memudahkannya untuk membawa watak utama dalam filem aksi tersebut.

“Seronok menjalani penggambaran ini kerana bukan sahaja dapat bekerjasama dengan pelakon lain malah anggota sebenar yang terlibat.

“Ia juga banyak mengimbau memori ketika bertugas sebagai anggota bomba di Singapura dahulu.

“Selain itu, ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada saya sebagai pelakon kerana sudah biasa dengan peralatan dan cara tugas sebagai ahli bomba,” katanya kepada Gempak.

Hisyam ditemui ketika berada di lokasi penggambaran filem Hero yang diadakan di Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah di sini, Selasa lalu.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mark Adam, Bell Ngasri, Syafiq Farhain, Elisya Sandha, Tash Yong dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Hero merupakan sebuah filem aksi komedi dan mengangkat kisah mengenai anggota bomba. Ia dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.