HIBURAN

Honeymoon Selepas Ramadan, Syafiq Kyle & Mimi Lana Diulit Bahagia - "Setiap Hari Kami Masak"

Amri Hassan 15/03/2025 | 04:58 MYT
Diulit bahagia! Demikian perjalanan cinta yang sedang dirasai oleh pasangan pelakon Mimi Lana dan Syafiq Kyle yang baru mendirikan mahligai rumah tangga bersama sekitar sebulan lalu.
Kongsi Mimi Lana, dia gembira untuk menikmati kehidupan rumah tangga bersama Syafiq.
Begitupun, akui Mimi Lana, mereka masih belum berpeluang untuk berbulan madu bagi meraikan hari bahagia mereka.
"Alhamdulillah saya gembira dengan perkahwinan ini. Cuma kami belum berkesempatan untuk berbulan madu lagi.
"Kami merancang untuk bercuti selepas Ramadan ini," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Mimi akui teruja dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai suami isteri buat kali pertama tahun ini.
"Sudah tentu saya seronok, malah sekarang ini pun saya gembira dapat menjalani ibadah puasa bersama. Boleh dikatakan setiap hari saya perlu memasak untuk suami.
"Tapi mujurlah Syafiq suka makan ikan bilis goreng saja. Jadi senanglah saya nak sediakan juadah untuknya. Sebenarnya Syafiq pun rajin memasak di rumah," katanya.
Sementara itu, Syafiq bersyukur kerana mereka dapat menikmati Ramadan bersama tanpa terikat dengan jadual penggambaran.
"Sepanjang Ramadan ini kami tidak terikat dengan sebarang penggambaran. Jadi kami ada banyak masa bersama keluarga dan untuk kami berdua.
"Selain itu, Mimi juga sibuk menguruskan perniagaannya dan saya pun ikut memberi sokongan," katanya.
Pasangan ini melangsungkan pernikahan secara tertutup pada 14 Februari di Taiping, Perak, tanpa hebahan media, menghormati keputusan keluarga. Hanya ahli keluarga dan kenalan rapat yang menghadiri majlis akad nikah serta resepsi mereka.
Sebelum ini, Mimi dan Syafiq pernah menjalinkan hubungan cinta selama beberapa tahun. Bagaimanapun, mereka membatalkan majlis pernikahan yang dijadualkan pada 18 Ogos 2023, sebelum akhirnya disatukan tahun ini.
#pelakon #Ramadan #Syafiq Kyle #Aidilfitri #Honeymoon #Mimi Lana