Portal media Dispatch hadir dengan sebuah berita hangat di awal tahun 2022 apabila mendakwa Hyomin T-ara menjalin hubungan asmaran dengan salah seorang pemain bola sepak, Hwang Ui Jo.

Laporan tersebut menyusul selepas keduanya didakwa ‘tertangkap’ lensa kamera di hadapan sebuah hotel mewah.

Bukan di Korea Selatan, sebaliknya Hyomin dan Ui Jo dikatakan telah menghabiskan masa menyulam cinta di Switzerland pada Disember lalu. Foto foto keduanya pun berjaya ditangkap di hadapan hotel di Basel sebagai bukti.

Menurut laporan sama, keduanya bermula sebagai sahabat sebelum didakwa mula menjalin cinta secara jarak jauh selama tiga bulan.

Hal itu lantaran Ui Jo kini tinggal di Perancis. Babak percutian mereka dirakamkan selepas Hyomin dikatakan menghabiskan masa bersama kekasihnya itu yang sedang bercuti selama dua minggu.

Berita percintaan pasangan ini dibenarkan oleh agensi Hyomin yang mengaku mereka masih dalam fasa awal perkenalan dan sedang berusaha mengenal satu sama lain dengan lebih dalam.

“Kami berada dalam fasa mengenal hati budi masing masing,” ujar pasangan tersebut lapor AllKPop.

Terdahulu, Hyomin yang diketahui memang jarang berkongsi hal peribadi sempat dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Wang Sicong. Namun, dia menafikan dirinya adalah kekasih Sicong.